Kesedaran awam kunci tangani ekstremisme

Kesedaran awam kunci tangani ekstremisme

RAKYAT Malaysia harus memainkan peranan penting dalam memastikan negara terus kekal aman dan harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, Malaysia dikejutkan dengan penahanan seramai 36 warga Bangladesh dalam operasi keselamatan terancang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor dan Johor, yang dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 24 April, lalu.

Siasatan menyeluruh yang dimulakan sejak awal April dijalankan dalam tiga fasa, melibatkan serbuan ke atas beberapa lokasi strategik. Hasilnya, lima individu didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam dan Johor Bahru atas kesalahan berkaitan keganasan. 15 individu diusir keluar negara, manakala 16 lagi masih dalam siasatan berhubung penglibatan dalam rangkaian militan.

Hasil tangkapan menunjukkan kesemua tahanan dipercayai terlibat dalam sebuah gerakan militan radikal yang membawa masuk ideologi pelampau berasaskan fahaman Negara Islam (IS) ke Malaysia, dengan matlamat untuk menggulingkan kerajaan Bangladesh. Risikan daripada Cawangan Khas PDRM mendedahkan kumpulan ini bukan sahaja menyebarkan fahaman radikal dalam kalangan komuniti mereka di negara ini dan menubuhkan sel-sel rekrut, malah terlibat dalam aktiviti pengumpulan dana bagi tujuan keganasan yang berpotensi menggugat kestabilan politik negara asal mereka.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengesahkan tiada warganegara Malaysia terlibat dalam kegiatan ini. Namun begitu, insiden ini tidak boleh dipandang ringan memandangkan Malaysia pernah mempunyai sejarah hitam antara 2014 hingga 2016. Negara ini dijadikan sebagai ‘safe haven’ dan pusat transit oleh kumpulan ekstremis asing, menjadikannya lokasi persinggahan untuk melancarkan aktiviti keganasan di negara lain.

Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah proaktif dengan mempertingkatkan keupayaan risikan serta memperkukuh kerjasama strategik di peringkat antarabangsa, serantau dan domestik. Usaha ini bertujuan untuk memelihara kedaulatan negara, keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam daripada sebarang percubaan menjadikan Malaysia sebagai pusat transit, pangkalan atau lokasi operasi kumpulan militan.

Setiap lapisan masyarakat perlu sentiasa berwaspada, berpengetahuan serta berdaya tahan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang bentuk fahaman ekstremisme.

Sehubungan itu, kerajaan disaran memperkenalkan program kesedaran awam berkaitan bahaya ekstremisme secara menyeluruh dan berterusan, melibatkan semua peringkat umur, bermula dari peringkat sekolah rendah, menengah, institusi pengajian tinggi sehinggalah ke tempat kerja.

Dengan pendekatan yang menyeluruh, bersepadu dan kolaboratif, Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang aman, stabil dan bebas daripada sebarang bentuk keganasan serta ideologi pelampau.-UTUSAN

DR. NUR ADILLAH OMAR
Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani
Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan
Abdul Hamid Abu Sulayman,
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN