Jangan takut, malu pertahankan Perkara 153

Jangan takut, malu pertahankan Perkara 153

PERKARA153 mesti dipertahankan dan keistimewaan yang diperuntukkan perlu dituntut dengan penuh keyakinan demi masa hadapan pendidikan anak bangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIADA bangsa yang mampu bangkit dengan bermaruah tanpa meletakkan pendidikan di tempat yang tertinggi. Ilmu bukan sekadar alat untuk mendapatkan pekerjaan tetapi asas kepada tamadun, kekuatan ekonomi dan kestabilan sosial. Inilah hakikat yang difahami pemimpin-pemimpin Melayu pasca-kemerdekaan untuk memajukan bangsa Melayu, pendidikan mesti dijadikan senjata utama.

Bertitik tolak daripada kesedaran inilah, maka lahirlah pelbagai inisiatif dan dasar pendidikan yang memberi laluan khas kepada orang Melayu. Penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM), biasiswa tajaan kerajaan, program matrikulasi dan pelbagai skim bantuan pelajaran, semuanya bukan berlaku secara kebetulan. Ia lahir daripada iltizam politik yang memahami orang Melayu perlu diberikan akses yang lebih luas kepada pendidikan tinggi untuk keluar dari lingkaran kemiskinan dan keterbelakangan.

Apa yang jarang disebut hari ini ialah bagaimana dasar ini sebenarnya dibina berdasarkan pemerhatian terhadap realiti sejarah. Ambil contoh kaum Cina. Mereka dibawa masuk ke Tanah Melayu oleh British sebagai buruh lombong, namun dalam masa yang singkat berjaya membina sistem pendidikan vernakular mereka sendiri. Masyarakat Cina memperjuangkan bahasa dan sekolah ibunda mereka dengan gigih, malah sanggup membiayainya sendiri tanpa bantuan kerajaan.

Hari ini, kita melihat hasilnya. Pendidikan yang menjadi keutamaan komuniti Cina melonjakkan mereka ke kedudukan ekonomi yang kukuh. Mereka bukan sahaja menguasai sektor perniagaan dan profesional tetapi juga berjaya membentuk jaringan institusi pendidikan yang mantap daripada sekolah rendah hingga ke kolej swasta. Mereka menjadikan ilmu sebagai jalan keluar daripada kebergantungan.

Sebaliknya, orang Melayu yang dibekalkan dengan pelbagai kelebihan dalam sistem pendidikan, kini semakin menunjukkan tanda-tanda kealpaan. Peluang ke universiti dibuka luas, namun kadar keciciran masih tinggi. Biasiswa disediakan tetapi semangat belajar makin luntur. Lebih menyedihkan apabila wujud segelintir anak muda Melayu yang mempertikaikan dasar-dasar keistimewaan ini tanpa memahami latar sejarah dan sebab ia diwujudkan.

Mereka cepat terpengaruh dengan slogan ‘kesamarataan’ tanpa memahami konsep keadilan sebenar. Sedangkan pemimpin terdahulu meletakkan asas ini bukan untuk selama-lamanya tetapi sebagai pemangkin untuk membina kekuatan bangsa Melayu agar dapat berdiri sama tinggi dengan kaum lain.
Kini kita berdepan risiko besar iaitu keistimewaan ini mungkin akan luput, bukan kerana dicabar oleh kaum lain tetapi kerana orang Melayu sendiri yang tidak lagi menghargainya. Kita lupa dasar afirmatif dalam pendidikan bukan hadiah tetapi amanah.

Selain sebagai satu amanah, memajukan dan membangunkan bangsa juga adalah suatu perjuangan besar dan senjata utamanya ialah pendidikan.

Para pemimpin terdahulu merintis jalan dengan menyediakan pelbagai kelebihan yang dimeterai dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk dimanfaatkan demi kejayaan bangsa Melayu khususnya dalam bidang biasiswa dan pendidikan tinggi, yang menjadi asas kepada kewujudan institusi seperti UiTM, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan program Matrikulasi.

Perkara 153 mesti dipertahankan dan keistimewaan yang diperuntukkan perlu dituntut dengan penuh keyakinan demi masa hadapan pendidikan anak bangsa. Tiada sebab untuk kita merasa rendah diri atau segan dalam menggunakan kelebihan ini kerana ia adalah hak yang sah demi menjamin kemajuan bangsa pada masa akan datang.

Jika kita melepaskan kelebihan ini tanpa perjuangan, di masa hadapan anak cucu terpaksa berhempas pulas di tanah air sendiri untuk bersaing dengan bangsa lain. Di manakah keadilan kita kepada mereka?-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN