KELEWATAN yang berkemungkinan disengajakan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara serta hakim-hakim kanan lain menimbulkan persoalan luar biasa, bukan sahaja dalam kalangan rakyat, malah di peringkat kepimpinan antarabangsa.
Jika tidak silap, inilah kali pertama dalam sejarah kehakiman negara jawatan Ketua Hakim Negara tidak disambung walaupun Perlembagaan membenarkannya.
Lebih menghairankan, seorang hakim kanan dilantik untuk memangku jawatan tersebut bagi tempoh yang hanya diketahui oleh kerajaan.
Justeru, menjadi harapan rakyat agar pihak Majlis Raja-Raja Melayu sudi menasihati Kerajaan Madani yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya segera menyelesaikan isu berkenaan secara professional dan telus.
Bukankah tindakan sedemikian boleh ditafsirkan sebagai kurang menghormati institusi raja-raja Melayu, khususnya apabila melibatkan urusan penting institusi kehakiman?
Rakyat tidak rela melihat sebarang campur tangan politik, apatah lagi jika wujud usaha untuk menyelamatkan individu tertentu daripada kehilangan kuasa sehingga sanggup ‘memperdagangkan’ jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman negara.
Sikap takut pada bayang-bayang sendiri tidak sepatutnya diwarisi sehingga mampu menjahanamkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman.
Malah calon Ketua Hakim Negara tidak sewajarnya dipilih secara setakat melepaskan batuk atau melangkah bendul semata-mata.
Wujud juga tanggapan negatif dalam kalangan masyarakat yang kurang mahir dalam hal ehwal perundangan, bahawa kemelut berhubung jawatan Ketua Hakim Negara berkait rapat dengan kes saman sivil membabitkan Muhammed Yusof Rawther, seorang anak muda dari Pulau Pinang selaku plaintif sementara Perdana Menteri selaku defendan.
Persepsi sebegini tidak harus dibiarkan berpanjangan, kerana itu kerajaan harus bertanggungjawab menyelesaikan kemelut ini.-UTUSAN
RAHMAD ISAHAK
Aktivis politik










