TAHUN baharu hijrah yang disambut pada 27 Jun lalu bukan sekadar menandakan permulaan tahun baharu tetapi ia detik kebangkitan jiwa, refleksi perjalanan hati dan seruan kepada umat Islam untuk menghayati makna sebenar hijrah, dalam konteks perubahan menyeluruh daripada kegelapan kepada cahaya, kekakuan kepada kesedarandan dan ego kepada empati.
Hijrah bukan semata-mata peristiwa sejarah Nabi SAW berpindah dari Mekah ke Madinah tetapi simbol perjuangan dalaman untuk berubah demi kemaslahatan diri, masyarakat dan negara.
Hijrah Rasulullah SAW adalah titik tolak pembinaan sebuah tamadun. Ia adalah permulaan kepada negara Islam yang pertama, berteraskan keadilan, persaudaraan dan nilai-nilai murni. Namun sebelum hijrah berlaku secara geografi, hijrah terlebih dahulu berlaku dalam jiwa para sahabat: dari keyakinan palsu kepada tauhid sejati, dari kepentingan diri kepada perjuangan kolektif, dan dari kebencian kepada kasih sayang.
Hakikatnya, hijrah adalah proses membebaskan diri daripada belenggu hawa nafsu, keangkuhan dan kejahilan menuju keinsafan, tawaduk dan ilmu. Maka, kita diseru melakukan hijrah secara holistik dalam hati, akhlak, hubungan, masyarakat seterusnya kepada kepimpinan.
Antara penyakit hati paling merosakkan ialah hasad dengki. Ia membakar amalan, merosakkan ukhwah dan memutuskan kasih sayang. Hijrah hati menuntut kita meninggalkan rasa benci kepada nikmat orang lain dan menggantikannya dengan doa dan empati.
Islam mengajar kita untuk meraikan kejayaan orang lain seperti meraikan kejayaan diri sendiri.
Insya-Allah, melalui hijrah hati menjadikan kita insan yang pemaaf, penyayang dan penuh syukur.
Ego adalah musuh terbesar dalam membina hubungan. Ia memutuskan silaturrahim, menumbuhkan sikap suka menyalahkan orang lain dan menutup ruang untuk menerima nasihat. Sebaliknya, empati adalah akar kepada kasih sayang, toleransi dan kemanusiaan.
Hijrah diri memerlukan kita menundukkan ego dan membuka hati untuk memahami cabaran orang lain.
Di Malaysia hari ini, perbalahan politik, perpecahan keluarga dan polarisasi kaum boleh diredakan jika kita berhijrah kepada empati.
Dengarlah dahulu sebelum menghukum. Hulurkan tangan sebelum mengangkat suara.
Masyarakat yang sejahtera lahir daripada keluarga yang utuh. Hijrah keluarga bermula apabila setiap anggota berhenti menyalahkan dan mula bertanggungjawab. Komunikasi yang jujur, waktu yang berkualiti dan doa yang ikhlas mampu menjadi ubat kepada luka keluarga.
Kita hidup dalam masyarakat yang semakin individualistik. Budaya ‘asal aku selamat,’ ‘bukan urusan aku’ dan ‘aku lebih penting dari orang lain’ menjadi racun yang merosakkan semangat persaudaraan.
Langkah terbaik adalah melalui hijrah sosial iaitu mengajak kita kembali kepada asas Islam iaitu membantu orang lain sebelum membantu diri.
Hijrah juga berlaku pada skala negara dan kepimpinan. Pemimpin hari ini perlu berhijrah dari melihat kuasa sebagai keistimewaan kepada amanah. Hijrah daripada populisme kepada prinsip. Daripada menanam kebencian kepada memacu perpaduan.
Tiada hijrah yang lebih agung selain hijrah dari kejahilan kepada ilmu. Umat yang berilmu ialah umat yang mampu mengubah dunia. Umat yang malas membaca, enggan belajar dan terperangkap dalam teori konspirasi akan terus lemah dan mundur.
Tahun 1447H seharusnya menyaksikan kebangkitan semula budaya ilmu dalam masyarakat Malaysia. Di rumah, di sekolah, di masjid, di kampus, bahkan di TikTok dan YouTube, kita perlu galakkan budaya membaca, mendengar ceramah berilmu dan menulis untuk manfaat ummah.-UTUSAN
ATRIZA UMAR
Pegawai Kanan Jabatan Pendidikan Masyarakat,
Pertubuhan IKRAM Malaysia










