Tatkala dunia meraikan kemajuan teknologi, diplomasi antarabangsa dan pencapaian tamadun moden, luka di bumi Palestin terus berdarah. Setiap detik, derita rakyat Palestin menjadi bukti kegagalan kemanusiaan sejagat dan sistem dunia yang pincang.
Pelanggaran undang-undang antarabangsa ini berlaku setiap hari, namun dunia sering membisu. Wilayah Gaza yang dihuni lebih dua juta penduduk Palestin, berada di bawah sekatan darat, laut dan udara oleh Israel sejak 2007.
Gaza digelar sebagai ‘penjara terbuka terbesar di dunia’ kerana rakyatnya dikurung tanpa hak untuk keluar, menerima bantuan perubatan yang cukup atau membina semula kehidupan.
Kerap kali, Gaza menjadi sasaran serangan udara besar-besaran oleh Israel dengan alasan memerangi kumpulan pejuang. Namun mangsanya majoriti adalah orang awam termasuk wanita, kanak-kanak dan warga emas.
Ribuan nyawa terkorban dan kemusnahan besar kepada infrastruktur awam seperti sekolah dan hospital.
Rakyat Palestin bukan sahaja kehilangan tanah, malah kehilangan hak sebagai manusia. Mereka perlu melalui berpuluh-puluh sekatan tentera setiap hari selain akses air bersih dan elektrik sangat terhad di Gaza dan beberapa kawasan di Tebing Barat.
Tembakan rambang tentera Israel dan pencerobohan rumah berlaku hampir setiap minggu meletakkan tahap keselamatan rakyat negara itu paling rapuh. Tidak kurang ribuan kanak-kanak ditangkap, diseksa dan dipenjara tanpa perbicaraan.
Apabila berlaku konflik di Eropah seperti di Ukraine, dunia cepat bersuara, menghulurkan bantuan dan mengenakan sekatan terhadap penceroboh. Namun bila rakyat Palestin dibunuh, dibom dan dihalau, suara dunia menjadi sayup. Negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sering menjadi pelindung rejim Israel dengan menggunakan kuasa veto untuk menolak sebarang resolusi kecaman. Inilah wajah hipokrasi dunia moden iaitu kononnya memperjuangkan hak asasi manusia, tetapi hanya untuk golongan tertentu.
Meskipun pemerintah dunia kebanyakannya bersikap pasif, rakyat dunia terutamanya umat Islam terus menunjukkan solidariti melalui tunjuk perasaan, kempen boikot dan bantuan kemanusiaan.
Malaysia antara negara yang tegas menyokong Palestin secara konsisten di pentas antarabangsa. Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Aman Palestin, MyCARE, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Yayasan Nurjiwa terus aktif menyalurkan bantuan kewangan, perubatan dan pendidikan ke Gaza dan Tebing Barat.
Rakyat Malaysia juga terkenal sebagai antara penyumbang paling aktif dalam membantu misi kemanusiaan ke Palestin.
Meskipun dunia sering menutup mata, rakyat Palestin tetap tabah dan berani. Mereka bangkit dengan semangat luar biasa, mempertahankan hak mereka untuk hidup bebas di tanah sendiri.
Setiap anak yang lahir di Gaza lahir dengan semangat pejuang. Harapan tetap ada kerana generasi muda kini lebih celik, lebih aktif di media sosial dan lebih lantang bersuara. Setiap perkongsian, setiap doa dan setiap usaha daripada kita walaupun kecil adalah cahaya harapan buat rakyat Palestin. – UTUSAN
MUHAMMAD HAFIZUDDIN MOHD. BAKRI
Kuala Lumpur










