Dengan menggalakkan tabiat membaca secara luas dan mendalam, sektor awam dapat meningkatkan pengetahuan, pemikiran kritikal dan keupayaan menyelesaikan masalah dalam kalangan pekerjanya, yang akhirnya membawa kepada tadbir urus serta penyampaian perkhidmatan yang lebih baik.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan transformasi ketara dalam budaya membaca. Kajian Profil Pembacaan Rakyat Malaysia 2022/2023 oleh Perpustakaan Negara menunjukkan rakyat memperuntukkan kira-kira sembilan jam dan 22 minit seminggu untuk membaca, dengan keutamaan kepada bahan bercetak (16 buah buku setahun) berbanding bahan digital (lapan buah buku setahun).
Namun begitu, secara keseluruhan, sehingga 2023, Malaysia berada di kedudukan ke-53 daripada 100 negara dalam Indeks Literasi Dunia, mencerminkan tahap literasi yang sederhana.
Kekurangan budaya membaca amat membimbangkan, terutamanya dalam sektor yang memainkan peranan penting dalam merangka dasar negara dan melaksanakan pelan pembangunan.
Malaysia berada di tempat keenam dalam kalangan negara Asia Tenggara dari segi jumlah buku dibaca, manakala di peringkat global, negara berada di tempat ke-37 dengan purata 5.47 buku dibaca dalam hanya 122 jam setahun.
Memandangkan penjawat awam membentuk sebahagian besar tenaga kerja dengan anggaran 1.6 juta orang, wajar bagi mereka menggandakan tabiat membaca bagi memantapkan trend nasional.
Namun begitu, cabaran tetap wujud dalam usaha ini. Kajian mengenai tabiat membaca dalam kalangan pelajar mendapati isu-isu seperti kurang motivasi, pengaruh persekitaran dan tarikan hiburan digital sebagai faktor yang menjejaskan tabiat membaca.
Lebih membimbangkan, ketagihan terhadap pelbagai platform media sosial yang meluas kini mengurangkan minat terhadap bahan bacaan yang berkualiti.
Cabaran-cabaran ini mungkin turut memberi kesan kepada penjawat awam. Oleh itu, memerlukan intervensi khusus untuk menggalakkan budaya pembacaan meluas dalam kalangan mereka. Antaranya :
• Menubuhkan perpustakaan mini di tempat kerja: Menyediakan perpustakaan kecil di semua agensi kerajaan
• Anjurkan kelab buku dan lingkaran bacaan: Perbincangan berkumpulan tentang buku dan artikel boleh memupuk komuniti pembaca dan merangsang wacana intelektual.
• Gabungkan bacaan dalam pembangunan profesional: Menggalakkan penjawat awam membaca bahan berkaitan bidang mereka bagi meningkatkan kepakaran dan mutu perkhidmatan.
• Manfaatkan platform digital: Memberi akses kepada perpustakaan digital dan e-buku untuk menarik minat individu celik teknologi serta menyokong pembacaan mudah alih.
• Pengiktirafan dan ganjaran inisiatif membaca: Melaksanakan program yang menghargai dan memberi ganjaran kepada pekerja aktif membaca. Ia boleh menjadi pemangkin motivasi kepada yang lain.
Bagi menjamin kemajuan berterusan, penjawat awam perlu menerima pembacaan meluas sebagai tanggungjawab profesional.
Dengan melaksanakan inisiatif ini, kerajaan dapat memastikan penjawat awam bersiap siaga menghadapi kerumitan pentadbiran serta menyumbang secara berkesan kepada pembangunan negara, lebih-lebih lagi dalam konteks cabaran geopolitik semasa yang begitu mencabar kini.
Bagi sektor awam, pembacaan mampu membentuk institusi yang lebih kukuh, cekap dan bersedia menghadapi masa depan sealiran dengan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam.-UTUSAN
DR. G PERIASAMY
Felo Penyelidik Kanan, Institut
Tadbiran Awam Negara (INTAN)










