Wajarkah pisahkan Pendakwa Raya dan Peguam Negara?

Wajarkah pisahkan Pendakwa Raya dan Peguam Negara?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADA masa kini, Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh diibaratkan bergerak sebagai entiti yang sama seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang dan melaksanakan apa-apa tugas lain yang bersifat undang-undang, yang dari semasa ke semasa dirujukkan atau ditugaskan kepadanya oleh Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri, dan menunaikan fungsi yang diberikan kepadanya oleh atau di bawah Perlembagaan ini atau mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan, selain prosiding di hadapan mahkamah syariah, mahkamah anak negeri atau mahkamah tentera. Ini jelas menunjukkan kepada kita kuasa besar yang dimiliki Peguam Negara khususnya dalam proses pendakwaan kes di mahkamah.

Namun begitu, kedudukan pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara seperti yang diamalkan pada masa kini boleh menyaksikan konflik kepentingan. Pada satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi pada pihak lain, beliau juga adalah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan. Ia dilihat boleh mewujudkan konflik kepentingan khususnya dalam kes-kes yang membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh yang demikian, wajar sekiranya usaha untuk memisahkan Pejabat Pendakwa raya dari Jabatan Peguam Negara dilihat secara serius oleh pihak kerajaan bagi memastikan sistem perundangan dan keadilan dalam negara tidak diragui serta mengundang persepsi negatif dari orang ramai.-UTUSAN

DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Fakulti Syariah & Undang – Undang (FSU),
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN