LEBIH 5,000 peserta terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, penyelidik dan pemain industri dari seluruh Pantai Timur hadir Minggu Sains Negara (MSN) 2025 Zon Timur yang berlangsung di Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu baru-baru ini.
Program ini merupakan satu inisiatif strategik di bawah Kementerian Sains,Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk menyemarakkan minat dan penglibatan rakyat Malaysia dalam bidang Sains, Teknologi dan Inovasi (STI).
Penganjuran Minggu Sains Negara bukan sekadar satu program tahunan, ia adalah platform penting untuk menyemai minat, membina kesedaran dan memperkukuh ekosistem bakat dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
Dalam menghadapi gelombang teknologi baharu seperti AI, pendigitalan dan ekonomi hijau, Malaysia tidak boleh hanya menjadi pengguna. Kita mesti melahirkan pencipta dan peneraju. MOSTI akan memastikan bakat tempatan dibina secara inklusif dan berterusan agar negara bukan sahaja bersedia, malah mampu menerajui transformasi teknologi dan ekonomi masa depan.
Justeru, melihat kepada sambutan penyertaan pada tahun lalu, MOSTI menyasarkan lebih 300,000 penyertaan keseluruhan dapat dicapai pada tahun ini. Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 turut menawarkan lebih 50 aktiviti dan pengisian menarik yang berteraskan STI untuk para pengunjung dan peserta di luar sana.
Lokasi penganjuran Karnival Minggu Sains Negara 2025 telah bermula di Sarawak pada bulan April, diikuti Terengganu, Sabah, Johor, Kedah dan berakhir di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada bulan November. Setiap lokasi akan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti yang menarik termasuklah pameran interaktif STEM, persembahan sains, kuiz sains, bengkel untuk pendidik dan pameran kerjaya berasaskan teknologi masa depan. Penganjuran Minggu Sains Negara 2025 Zon Timur bukan sahaja dapat memperluaskan akses ilmu pengetahuan kepada masyarakat tetapi turut merangsang minat generasi muda untuk terus meneroka STI untuk diaplikasi dalam kehidupan.- UTUSAN
KEMENTERIAN SAINS,
TEKNOLOGI DAN INOVASI










