Pesta buku: Dari pesta ke sebuah gerakan madani

Pesta buku: Dari pesta ke sebuah gerakan madani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PESTA Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 (PBAKL 2025) telah melabuhkan tirainya dengan penuh gilang-gemilang.

Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyempurnakan acara penutup memberi gambaran yang pesta itu bukan sekadar keramaian, tetapi dimuliakan dengan nilai keilmuan yang amat tinggi dan merentas zaman.

PBAKL sekali lagi membuktikan minat rakyat Malaysia terhadap dunia buku dan ilmu masih kukuh dan berkembang. Ribuan buku baharu diperkenalkan, beratus-ratus penulis tempatan serta antarabangsa hadir untuk berkongsi idea dan pengalaman dan yang paling penting, ratusan ribu pengunjung membanjiri ruang pameran.

Tidak dapat dinafikan, PBAKL menjadi medium lonjakan minat terhadap aktiviti membaca dan pembelian buku dalam kalangan masyarakat.

Lebih daripada itu, ‘kehadiran’ teknologi digital memperlihatkan perubahan landskap bacaan. Penjualan buku digital dan audio meningkat, menandakan anjakan ke arah gaya pembacaan moden yang lebih fleksibel. Bagi golongan muda dan profesional yang sentiasa bergerak, ini memberikan pilihan lebih praktikal dan mudah diakses.

PBAKL juga merupakan platform utama untuk penulis dan penerbit mengetengahkan karya ke peringkat nasional dan antarabangsa. Tahun ini menyaksikan penyertaan aktif daripada penulis muda yang tampil dengan karya-karya baharu dalam genre kontemporari seperti fiksyen spekulatif, penulisan pasca pandemik dan cerita berlatarkan isu sosial semasa.

Program bimbingan penulisan dan bengkel penerbitan turut mendapat sambutan hangat.

Selain itu, hubungan kerjasama antara penerbit tempatan dan antarabangsa juga diperkukuh melalui rundingan perniagaan dan pemeteraian hak cipta. Ini membuka peluang besar untuk karya tempatan diterjemah dan diterbitkan di luar negara, sekali gus mengangkat nama Malaysia di pentas dunia penerbitan.

Institusi pendidikan turut memainkan peranan besar dalam PBAKL dengan penglibatan aktif daripada pelajar sekolah, universiti dan guru-guru. Rombongan pelajar dari seluruh negara hadir dengan semangat mengenali dunia buku di luar silibus persekolahan. Banyak sekolah yang mengambil peluang ini untuk mengadakan lawatan ilmiah dan aktiviti luar bilik darjah yang bersifat pembelajaran kontekstual.

Di samping itu, sektor pendidikan khas turut diberi perhatian dengan penyertaan penerbit yang memfokuskan buku mesra Orang Kurang Upaya (OKU), termasuk dalam format braille, audio buku dan cetakan mudah dibaca. Langkah ini menyokong aspirasi Malaysia Madani untuk menjadi masyarakat yang lebih inklusif dan peka terhadap keperluan semua lapisan rakyat.

Justeru, PBAKL harus dijadikan batu loncatan kepada kempen membaca yang lebih berterusan. Perpustakaan, sekolah, syarikat korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) boleh bekerjasama menganjurkan program membaca bulanan.

Penerbit dan kerajaan juga perlu mempergiat usaha untuk mendigitalkan lebih banyak karya tempatan. Ini bukan sahaja memudahkan capaian, tetapi juga menjadikan bahan bacaan Malaysia lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa.

PBAKL boleh dijadikan model untuk menganjurkan pesta buku berskala kecil di setiap negeri atau daerah. Ini dapat memberi peluang kepada penduduk luar bandar merasai pengalaman seumpama ini tanpa perlu ke ibu kota.

Namun, untuk menjadikan Malaysia benar-benar sebagai sebuah ‘negara membaca’ menjelang 2030, usaha itu tidak boleh terhenti pada April dan berakhir selepas pesta buku berakhir.

Kini, masanya untuk semua pihak berganding bahu memanjangkan impak PBAKL kepada seluruh pelosok masyarakat. Dengan langkah strategik dan kolaboratif, impian untuk menjadikan budaya membaca sebagai teras pembinaan bangsa yang progresif dan berdaya fikir tinggi pasti dapat direalisasikan. Dari pesta, kita gerakkan satu revolusi keilmuan.-UTUSAN

SARFARIZMAL MD. SAAD
Pertubuhan Aktivis Belia Tanah Air (ABATA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×