Sambutan Hari Guru bukan sekadar simbolik, bahkan wajar dijadikan medan muhasabah: Apakah sistem kita benar-benar menyokong pendidik untuk memacu reformasi pendidikan, selari dengan tema tahun ini.
Antara cabaran utama yang menggugat integriti pendidikan ialah sikap sambil lewa, copy-paste bahan pengajaran, dan kegagalan menyelia pelajar.
Ada yang menyalahgunakan kuasa dalam pentaksiran atau jawatan akademik demi kepentingan sendiri.
Sebagai pendidik, integriti bukan hanya dinilai dalam kelas, tetapi turut diuji di luar waktu pejabat. Pendidik kekal diperhatikan, dan apa jua tindakan baik secara peribadi mahupun profesional mencerminkan nilai yang dibawa oleh institusi dan profesion.
Dalam dunia yang serba terbuka hari ini, tingkah laku pendidik di luar waktu kerja turut menjadi perhatian masyarakat. Apa yang dilakukan di luar sekolah atau kampus bukan lagi dianggap sebagai urusan peribadi semata-mata, terutama apabila ia menjejaskan reputasi institusi atau mencetus persepsi negatif terhadap profesion perguruan.
Guru dan pensyarah perlu sentiasa menyedari bahawa mereka membawa imej sebagai tokoh contoh dilihat, dinilai, dan diteladani bukan sahaja pelajar, tetapi seluruh komuniti.
Justeru, pendidik perlu menjauhkan diri daripada sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjejaskan maruah profesion, seperti penyalahgunaan media sosial, penyebaran kandungan tidak bermoral, penyertaan dalam aktiviti sosial yang melanggar norma, atau apa-apa tingkah laku yang boleh mencetus skandal awam.
Status sebagai pendidik datang bersama tanggungjawab moral yang tinggi. Maruah, integriti dan keperibadian guru bukan sahaja dibina melalui apa yang diajar di bilik darjah, tetapi juga melalui kehidupan seharian yang mencerminkan nilai yang didukung.
Reformasi pendidikan menuntut kita membina sistem yang bukan sahaja dinamik, tetapi berprinsip dan berjiwa. Guru dan pensyarah tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian. Kita perlu menyediakan ekosistem sokongan, termasuk insentif, latihan berkualiti, dan pengiktirafan sewajarnya.
Pendidik bukan sekadar pengajar. Mereka adalah pemudah cara, pembimbing emosi, penjaga nilai, dan pemangkin kemajuan negara. Untuk terus relevan, mereka perlu diperkasakan, bukan terlalu dikongkong oleh birokrasi atau beban tugas yang melampau.
Maka, sediakan landasan buat para pendidik terus perkasa diri dan menjulang integriti agar mereka benar-benar mampu menjadi pemacu reformasi pendidikan seperti yang diimpikan. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. HAFIZ ZULFAKAR
UiTM Kampus Puncak Alam










