KETIKA dunia menyaksikan seribu satu kekejaman yang berterusan menimpa di bumi Palestin, satu gelombang solidariti luar biasa dipimpin generasi paling celik teknologi akhirnya bangkit.
Sejak tercetusnya pencerobohan besar-besaran ke atas Gaza pada penghujung 2023, mahasiswa di seluruh dunia termasuk Malaysia, tidak berdiam diri. Mereka mengatur gerakan digital serta fizikal bagi menyatakan solidariti dan protes tanpa kompromi.
Menyedari ketidakadilan yang dilaporkan secara berat sebelah oleh media arus perdana, mahasiswa Generasi Z (Gen Z) bertindak bijak dengan menggunakan platform media sosial sebagai medan pertempuran utama bagi membanteras penindasan dan menegakkan keadilan.
Kandungan berformat video pendek, infografik dan siaran langsung dari zon konflik berjaya menarik perhatian dunia dengan jutaan pengguna dapat diraih dalam masa singkat. Mahasiswa Gen Z dilihat berperanan sebagai ‘wartawan warga’ yang menyampaikan perkembangan semasa daripada perspektif akar umbi.
Dapat disaksikan kampus-kampus universiti seluruh dunia kini menjadi pusat utama kepada gelombang solidariti bagi konflik Palestin-Israel. Di Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Kanada dan beberapa lagi negara Eropah lain, mahasiswa bertindak mengadakan demonstrasi pro-Palestin dengan menuntut gencatan senjata kekal dan menekan pentadbiran negara menamatkan sumbangan dana tentera dan ekonomi kepada Israel. Aksi-aksi ini merebak ke Asia, termasuk di universiti awam di Malaysia, Indonesia, Turkiye dan beberapa negara Arab.
Mereka menggunakan pelbagai pendekatan kreatif seperti forum intelektual, pameran interaktif, solat hajat berjemaah, himpunan solidariti, bahkan boikot ekonomi dan barangan daripada syarikat Israel untuk menyatakan pendirian secara konsisten dan berprinsip. Hal ini membuktikan mereka bukan hanya lantang di medan digital tetapi juga turun ke lapangan dengan kesedaran kolektif serta semangat juang yang berkobar-kobar.
Keupayaan mereka mengubah kesedaran menjadi tindakan kolektif. Mereka memahami solidariti bukan sekadar bersifat simbolik atau sebatas bersuara di media sosial, bahkan ia mesti diterjemahkan kepada usaha konkrit yang membawa kepada perubahan yang komprehensif dan efisien.
Mahasiswa Gen Z juga dilihat menyumbang keringat dalam penghasilan bahan ilmiah seperti jurnal, laporan hak asasi dan dokumentari mengenai konflik yang berlaku di Palestin, seterusnya memperkukuh wacana akademik yang menyokong perjuangan tersebut.
Dalam banyak hal, suara mahasiswa Gen Z dikatakan lebih lantang dan tulus berbanding kenyataan politikus atau institusi antarabangsa yang sering kali berbelah bahagi dan hanya bersifat neutral dalam menyatakan pendirian terhadap konflik Palestin-Israel.
Melalui revolusi digital yang kian meluas di seantero dunia, solidariti mahasiswa kini menembusi sempadan geografi dan budaya. Malah, mahasiswa Islam dan bukan Islam, dari latar belakang yang pelbagai, bersatu hati atas misi kemanusiaan yang sama. Dapat dibuktikan perjuangan Palestin bukan lagi isu serantau atau keagamaan semata-mata tetapi menjadi simbol keperluan keadilan dan keamanan global.
Di sinilah peranan mahasiswa terserlah signifikannya, mereka membuktikan perubahan tidak hanya terbit daripada sistem formal atau kekuasaan politik sahaja tetapi daripada keberanian kolektif untuk menyuarakan kebenaran, walaupun dalam keadaan yang penuh cabaran dan keterbatasan yang tinggi. Namun, ia bukanlah sesuatu yang mustahil jika semua pihak berganding bahu demi membina harapan baharu untuk dunia yang lebih adil.
Revolusi digital dan kebangkitan solidariti mahasiswa Gen Z terhadap Palestin mencerminkan sinar harapan baharu dan bukti kampus bukan sebatas tempat menuntut ilmu tetapi medan membina kesedaran, kepimpinan dan tindakan sosial demi keadilan sejagat.
Gerakan yang dilaksanakan mahasiswa ini juga bukan sekadar fenomena sementara, tetapi mungkin menjadi asas kepada perubahan lebih signifikan dalam landskap kesedaran politik dan sosial antarabangsa.-UTUSAN
AINUR MARDHIAH MAZLAN
Universiti Malaya










