Kenapa kita perlu tanam pokok?

Kenapa kita perlu tanam pokok?

MENJAGA alam sekitar merupakan amanah yang perlu dipikul oleh setiap individu supaya manfaat daripada pokok-pokok ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AKTIVITI penanaman pokok telah lama dijalankan di negara kita. Terbaharu, Kempen Penghijauan Malaysia: Penanaman 100 Juta Pokok berlangsung sejak 2021 hingga 2025.

Menerusi kempen ini, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bertindak sebagai Jawatankuasa Kerja Teknikal yang memberikan khidmat nasihat teknikal berkaitan pemilihan spesies, teknik penanaman dan penyelenggaraan pokok.

FRIM juga membuat semakan ketepatan spesies yang ditanam individu melalui laman sesawang kempen.

Berikut adalah beberapa sebab mengapa perlu menanam pokok :

– Menjaga kualiti udara: Melalui proses fotosintesis, pokok menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen untuk kegunaan organisma lain. Daun-daun pokok memerangkap habuk, debu dan kotoran lain yang terampai di dalam udara.

Kepentingan pokok sebagai ‘agen penapis’ udara ini penting terutamanya di kawasan bandar, perindustrian dan kawasan pembangunan baharu yang sering mengalami pencemaran udara.

– Mengurangkan hakisan tanah: Pokok mempunyai sistem akar yang berfungsi sebagai sokongan, selain memegang serta menstabilkan tanah. Silara pokok pula boleh mengurangkan tujahan air hujan secara langsung ke permukaan tanah dan mengurangkan hakisan tanah, terutamanya di kawasan cerun.

Penanaman pokok di pinggir-pinggir sungai pula dapat membantu memelihara tebing-tebing sungai daripada runtuh. Selain itu, spesies bakau yang ditanam di kawasan pantai menjadi penghadang kepada tiupan angin kencang dan pukulan ombak yang boleh mengakibatkan bencana alam.

Meningkatkan keindahan alam sekitar & kepelbagaian biologi: Ciri-ciri menarik seperti daun berwarna-warni, bunga yang unik dengan warna menarik dan pelbagai bentuk silara pokok mampu menjadikan persekitaran lebih indah, ceria dan menyegarkan.

Keindahan alam sekitar turut mengambil kira faktor-faktor seperti keupayaan sesebuah kawasan menarik unggas, serangga dan haiwan-haiwan kecil lainnya.

Pokok-pokok menyediakan habitat untuk pelbagai spesies haiwan dan serangga, yang menyokong ekosistem yang sihat. Daun, bunga dan buah menjadi sumber makanan kepada burung, serangga serta haiwan kecil lainnya. Malah, manusia juga mendapatkan sumber makanan daripada pokok.
Kebergantungan antara spesies ini boleh dicipta melalui penanaman spesies pokok yang pelbagai dan bersesuaian.

– Meningkatkan kesejahteraan mental dan fizikal: Pokok-pokok mencipta ruang beriadah yang selesa dan menjadi pemangkin kepada gaya hidup sihat. Pokok-pokok yang rendang memberikan teduhan di samping menyejukkan kawasan riadah. Ia mengurangkan stres, meningkatkan mood dan memberi kesan positif terhadap kesihatan mental pengunjung.

Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk menanam pokok-pokok di kawasan taman bagi memastikan kesinambungannya. Penglibatan komuniti yang aktif dalam aktiviti penanaman pokok di kawasan awam dapat melahirkan masyarakat yang sejahtera dan harmon.

– Mengurangkan kesan perubahan iklim: Bandar-bandar besar yang pesat membangun berdepan kepanasan melampau dan terpaksa bergantung kepada alat pendingin hawa untuk keselesaan. Penggunaan pendingin hawa bukan sahaja meningkatkan penggunaan tenaga elektrik, malah menjadi punca berlakunya kesan pulau haba.

Kesan pulau haba terjadi apabila berlaku perbezaan suhu yang ketara antara kawasan bandar dan luar bandar akibat aktiviti manusia yang tinggi di kawasan bandar. Penanaman pokok yang dirancang dengan baik boleh mengurangkan kenaikan suhu di kawasan bandar.

Ini kerana pokok merupakan agen penyerap gas-gas rumah hijau dan berkesan dalam mitigasi terhadap perubahan iklim.

– Meningkatkan nilai hartanah, perniagaan & pelancongan: Pokok-pokok dan landskap kini menjadi salah satu kemudahan struktur yang perlu ada dalam pembangunan sesebuah bandar.

Permintaan terhadap kawasan hijau semakin bertambah dan menyebabkan nilai hartanah turut meningkat. Kebanyakkan syarikat komersial beroperasi di kawasan bandar yang lebih teratur, kemas dan mempunyai landskap yang menarik.

Di samping itu, bandar-bandar yang mempunyai pokok-pokok warisan yang bersaiz besar dan mempunyai nilai sejarah juga menyumbang kepada aktiviti pelancongan.

Di Malaysia, bandar-bandar seperti Kuala Lumpur, Taiping, Kuching dan Georgetown terkenal dengan ikon pokok-pokok sedemikian.

Sumber pembelajaran dan elemen pendidikan alam sekitar: Penanaman pokok terancam, langka dan hampir pupus dapat memberi pendedahan kepada masyarakat terutamanya generasi muda untuk menghayati kepentingan alam sekitar dan kelestarian alam.

Kepelbagaian bentuk, tekstur, bau dan warna pada pokok berpotensi sebagai bahan bantu mengajar kepada kanak-kanak sekolah.

Di samping itu, aktiviti-aktiviti alam lain seperti pemerhatian hidupan liar dan mereka cipta kraf alam dapat meningkatkan keseronokan belajar serta keprihatinan generasi muda terhadap nilai alam sekitar yang tidak terhingga.

Secara umumnya, semua makhluk sangat bergantung kepada pokok-pokok untuk kehidupan yang lestari.

Tanggungjawab menjaga alam sekitar merupakan amanah yang perlu dipikul setiap individu supaya manfaat daripada pokok-pokok ini dapat diwariskan kepada generasi akan datang.

DATUK DR. ISMAIL PARLAN
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan
Perhutanan Malaysia (FRIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN