Kenapa berebut jawatan dalam parti politik?

Kenapa berebut jawatan dalam parti politik?

KITA menyaksikan pelbagai pergolakan sehingga tertubuhnya beberapa parti baharu sejak sejak era awal kemerdekaan sehingga kini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA perebutan jawatan dianggap lumrah dalam dunia politik moden. Di Malaysia dan banyak negara lain, perebutan jawatan sering kali mencetuskan perpecahan, melemahkan solidariti parti dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan ahli akar umbi.

Sebab utama perebutan jawatan dalam parti politik ialah keinginan untuk menguasai sumber kuasa. Dalam sistem demokrasi berparlimen seperti di Malaysia, jawatan dalam parti menjadi laluan utama untuk memegang kuasa pemerintahan. Justeru, mereka yang menduduki jawatan tertinggi dalam parti biasanya berpeluang besar dilantik menjadi perdana menteri, menteri besar atau memegang jawatan dalam Kabinet. Kerana itu, ramai ahli politik sanggup bersaing, bukan semata-mata untuk memperkukuh parti, tetapi lebih kepada menjamin kedudukan sendiri dalam struktur pemerintahan negara.

Selain itu, jawatan dalam parti memberikan pengaruh dan kuasa ke atas proses membuat keputusan. Seseorang yang memegang jawatan strategik, mempunyai kuasa menentukan hala tuju dasar, senarai calon pilihan raya serta peruntukan sumber parti.

Sejarah politik tanah air juga tidak lari daripada episod perebutan kuasa. Sejak era awal kemerdekaan sehingga kini, kita menyaksikan pelbagai pergolakan dalaman parti, sama ada dalam UMNO, Pas, PKR mahupun parti-parti baharu yang lahir daripada perpecahan parti asal.

Contohnya, perpecahan dalam UMNO pada 1987 membawa penubuhan Semangat 46 dan sekali lagi pada 1998 yang mencetuskan lahirnya PKR. Kebanyakan perpecahan ini berlaku akibat ketidakpuasan hati terhadap kepimpinan dan persaingan merebut jawatan. Malangnya, perebutan kuasa ini tidak hanya memecahbelahkan parti, malah menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan ahli politik dalam memperjuangkan nasib mereka.

Perebutan jawatan juga sering kali mencerminkan kelemahan dalam amalan demokrasi dalaman sesebuah parti. Dalam banyak kes, proses pemilihan tidak telus atau terlalu banyak campur tangan daripada pemimpin tertentu yang mahu mempertahankan kedudukan mereka. Ini menyebabkan proses pemilihan tidak lagi mencerminkan suara akar umbi, sebaliknya menjadi permainan strategi elit politik semata-mata. Akibatnya, ahli yang tidak puas hati akan keluar parti atau membentuk blok baharu. Hal ini menyumbang ketidaktentuan politik yang berpanjangan.

Pun begitu, dalam sesetengah kes, pertandingan sihat dalam parti boleh menyemarakkan semangat demokrasi dan membolehkan pemimpin muda yang berwibawa menjawat jawatan penting.

Kerana itu penting bagi ahli politik kembali kepada prinsip perjuangan asal, menjadikan amanah sebagai tanggungjawab dan bukan sekadar laluan untuk mengejar kedudukan. Hanya dengan cara itu, sistem politik akan terus sihat dan rakyat akan kembali menaruh kepercayaan kepada kepimpinan yang ada.-UTUSAN

ANIQ SYAFI ZAIMY
Universiti Multimedia, Cyberjaya

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN