USAHA Malaysia untuk membina ekosistem kewangan yang lebih digital dan inklusif melonjak ke hadapan dengan pelancaran Rangka Kerja Pengendali Insurans dan Takaful Digital (DITO).Jelajah Kolektif Insurans & Takaful anjuran Kolektif Insurans dan Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) menarik kehadiran ramai pemimpin industri, inovator digital dan penggubal dasar. Semuanya bersatu untuk membincangkan kesan rangka kerja ini serta masa hadapan industri insurans dan takaful Malaysia.
Acara ini dihadiri 10 penceramah dan rakan industri yang berkongsi pandangan tentang integrasi kecederasan buatan (AI), pengedaran digital, kerjasama pemain-pemain InsureTech dan penjajaran kawal selia dalam industri.
Ketua Pegawai Eksekutif, Persatuan Takaful Malaysia (MTA), Mohd. Radzuan Mohamed berkata Rangka Kerja DITO adalah pemangkin transformasi yang menggalakkan inovasi, memperluas akses insurans kepada golongan kurang mendapat liputan serta meletakkan asas kawal selia bagi pengendali digital selain menekankan peranan pengendali takaful dalam memperkasakan celik kewangan dan digital dalam kalangan masyarakat.
Timbalan Pengarah FSL, Mohd. Irman Mohd. Din berkata Perpustakaan FSL kini berkembang sebagai hab perkongsian ilmu, inovasi dan kerjasama industri.
Landskap InsureTech di Malaysia berkembang pesat daripada hanya 16 entiti pada 2019 kepada lebih 49 pemain aktif hari ini. Ia menunjukkan evolosi yang semakin tinggi terhadap inovasi. Rangka kerja DITO bukan sahaja memacu momentum ini, malah menyediakan laluan tersusun untuk pengendali insurans dan takaful digital berkembang dalam persekitaran yang dikawal selia dengan baik.
Bagi Pengasas Kolektif Insurans, R. Kumaran, syarikatnya sedang membina pentas untuk kerjasama, inovasi dan kecemerlangan dalam industri insurans dan takaful, bukan hanya di Malaysia, tetapi juga di peringkat serantau.
Dengan fokus masa hadapan, lebih banyak syarikat berhasrat untuk menyokong dan memupuk InsureTech tempatan dengan memanfaatkan ekosistem rakan kongsi dan pemimpin pemikiran dari seluruh dunia untuk mempertingkatkan pasaran Malaysia dan negara serantau. – UTUSAN
MOHD. IRMAN MOHD. DIN
Timbalan Pengarah Perkhidmatan Kewangan (FSL),
Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB)










