MENJELANG sambutan hari raya Aidiladha bermakna semakin hampir dengan pesta sembelihan haiwan korban. Ia bermula pada 10 Zuhijjah hinggalah ke hari-hari tasyrik yang bertarikh 11, 12, dan 13 Zulhijjah.
Pada 1 Mei lalu, dunia ternakan haiwan serantau dikejutkan dengan kes kematian manusia akibat jangkitan penyakit anthrax di Thailand. Penyakit ini disebabkan bakteria Bacillus anthracis yang boleh menjangkiti haiwan dan manusia serta boleh membawa maut.
Walaupun Malaysia disahkan bebas daripada penyakit tersebut sejak 1976 oleh Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH), tetapi kes yang berlaku di negara jiran turut menggusarkan. Ini disebabkan risiko turut ada jika tidak berhati-hati.
Istimewanya di Malaysia, pihak berkuasa veterinar memeriksa setiap haiwan korban sebelum Sijil Kesihatan Veterinar dan Akuan Kebenaran Pindah dikeluarkan bagi memastikan ternakan yang akan disembelih sihat dan bebas daripada penyakit.
Walaupun dari segi prosedur sudah kemas, tetapi potensi haiwan korban tanpa melalui proses pengkuarantinan atau pemeriksaan kesihatan boleh berlaku dan ia boleh memberikan kesan buruk terhadap kesihatan manusia.
Dalam hukum fiqah, pemilihan haiwan korban digariskan syarat yang khusus, iaitu haiwan yang cukup umur, bebas dari kecacatan, tidak berpenyakit dan sempurna sifatnya.
Jadi, dalam melaksanakan ibadah korban, umat Islam sewajarnya memilih haiwan yang terbaik, sihat, di samping melalui prosedur korban yang ditetapkan kerajaan. Pemilihan ini sangat penting kerana haiwan yang berpenyakit, atau dijangkiti penyakit merbahaya adalah termasuk dalam haiwan yang sakit nyata dan memudaratkan kepada pelbagai pihak yang menerima daging korban.
Perbuatan yang boleh mengundang kemudaratan adalah bertentangan dengan hikmah korban itu sendiri dan berlawanan dengan prinsip asas syariah.
Selain itu, ibadah korban bertujuan sebagai penyucian jiwa dan ekspresi rasa kesyukuran kepada Allah SWT. Selari dengan itu, dalam melaksanakan ibadah ini, umat Islam perlu akur dengan tuntutan Allah SWT yang menekankan amal yang ikhlas.
Senada dengan objektif ibadah korban ini juga, Nabi SAW menjelaskan ibadah korban adalah amalan yang dicintai oleh Allah SWT.
Sehubungan dengan itu, dalam melakukan ibadah korban, pilihlah haiwan yang benar-benar halalan tayyiban, iaitu haiwan ternakan yang diperoleh dengan cara yang sah, melalui prosedur kesihatan pihak veterinar, haiwan yang sihat dan berisi, tidak cacat dan cukup umur.
Ibadah korban merupakan manifestasi pengorbanan seorang hamba yang didasari rasa ikhlas demi mencapai ketakwaan kepada Allah SWT.
Selain itu, ia juga proses pembersihan jiwa seorang hamba. Pastilah ia turut menitik beratkan aspek keselamatan orang ramai dan tidak membuka ruang risiko penyakit atau kematian kepada masyarakat agar ibadah korban diterima di sisi Allah SWT.
Oleh itu, dalam melaksanakan ibadah korban, umat Islam perlu lebih cakna dan patuh panduan syariah serta arahan pihak berkuasa demi menjamin ibadah korban yang dilakukan sah serta selamat.
Begitu juga, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima penawaran haiwan dengan harga yang murah, di bawah harga pasaran kerana dibimbangi haiwan tersebut diseludup, atau dicuri atau berpenyakit.
Sekiranya penyembelihan dilakukan di luar rumah sembelihan yang sah, pastikan ada dokumen Akuan Pemindahan Ternakan, Sijil Kesihatan Veterinar dan Permit Penyembelihan Luar, dan ia lengkap sebelum penyembelihan dilakukan. Semoga ibadah korban diterima di sisi Allah SWT dan menjadi saksi di akhirat kelak. – UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR RAMLI
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya










