Tangani malapetaka perubahan iklim dengan berkesan

Tangani malapetaka perubahan iklim dengan berkesan

BUAT persediaan lengkap dan rapi daripada sekarang untuk menghadapi sebarang malapetaka perubahan iklim.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGI saya, ungkapan ‘perubahan iklim’ itu tidak menakutkan, mengerikan mahupun menggerunkan. Ia seperti satu subtopik dalam subjek geografi sahaja. Saya cadangkan agar ditambah satu perkataan yang membawa kepada kesan perubahan iklim itu sendiri, misalnya perkataan ‘malapetaka’.

Ungkapan baharu akan menjadi malapetaka perubahan iklim. Jadi, bila dibaca perkataan ‘malapetaka’, kita akan berasa takut dan gerun akan perubahan iklim itu. Maka, kita akan cuba mengelak ia daripada berlaku, walaupun agak sukar untuk dicapai kerana memerlukan kerjasama semua negara di dunia.

Jika Malaysia mewajibkan penggunaan kenderaan elektrik sekalipun, sedangkan negara lain masih membebaskan asap dan gas rumah hijau ke ruang udara, Malaysia tetap akan mengalami malapetaka perubahan iklim juga. Oleh itu, kita perlu beri lebih tumpuan untuk menghadapi malapetaka yang pasti akan menimpa di samping cuba mengurangkan kesannya dengan melaksanakan Dasar Perubahan Iklim Negara secara optimum.

Setakat ini, malapetaka perubahan iklim yang berlaku adalah taburan air hujan di luar jangkaan, sama ada daripada monsun timur laut mahupun monsun barat daya, yang menyebabkan banjir.

Pada tahun 2004, kita ditimpa malapetaka tsunami besar akibat kesan gempa bumi di pantai barat Sumatera, Indonesia. Kebelakangan ini, gempa bumi yang berlaku di negara jiran, seperti Indonesia dan Myanmar memberi kesan berbentuk gegaran dan huyungan bangunan di negara kita.

Terdapat juga kajian yang menyatakan bahawa Malaysia berisiko akan mengalami gempa bumi suatu hari nanti. Bersediakah kita untuk menghadapinya?

Dahulu, saban tahun juga jerebu ‘bertandang’ ke negara kita hasil daripada kebakaran hutan di negara jiran. Sesak nafas dan pedih mata juga dibuatnya. Kebakaran hutan berskala kecil pernah berlaku di negara kita dan ia dapat dipadamkan dan ditangani dengan cemerlang oleh pihak bomba.

Namun, adakah kita sudah bersedia untuk menghadapi kebakaran hutan berskala besar seperti yang berlaku di Los Angeles, Amerika Syarikat dan Korea Selatan baru-baru ini?

Dengan kemahiran dan kelengkapan yang canggih pun mereka tidak dapat menanganinya dengan mudah.

Mulai sekarang, kerajaan mesti buat persediaan rapi untuk menghadapi segala kemungkinan malapetaka perubahan iklim. Semua agensi mencari dan menyelamat (Carilamat) perlu dilengkapkan dengan anggota tambahan berkemahiran tinggi dan peralatan menyelamat yang canggih. Bilangan helikopter pemadam kebakaran perlu ditambah.

Pusat-pusat penempatan mangsa perlu disediakan untuk jangka pendek, sederhana dan panjang dengan dilengkapi segala kemudahan asas, makanan dan minuman mencukupi. Para sukarelawan juga perlu bersiap-siaga secara fizikal, mental dan spiritual. Di samping itu, pastikan juga bekalan makanan negara terjamin kerana kita tidak boleh bergantung harap kepada makanan import daripada negara luar sekiranya berlaku peperangan dan bencana di negara mereka.

Tangani malapetaka perubahan iklim dengan berkesan. Buat persediaan lengkap dan rapi daripada sekarang untuk menghadapi sebarang malapetaka perubahan iklim. Tiada gunanya jika sudah terhantuk, baru hendak tengadah.

Adakah malapetaka ini berlaku kerana mungkin Tuhan mulai bosan melihat tingkah kita, yang selalu salah dan bangga dengan dosa-dosa atau alam mulai enggan bersahabat dengan kita? – UTUSAN

MARISSA QT
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN