Sijil antirasuah tingkat integriti terhadap bidaan projek kerajaan

Sijil antirasuah tingkat integriti terhadap bidaan projek kerajaan

PENSIJILAN ISO 37001 bukan sekadar peraturan tambahan, tetapi instrumen integriti, akauntabiliti dan profesionalisme sektor awam dan swasta.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
PADA 2026, Malaysia akan melaksanakan dasar penting yang mensyaratkan semua syarikat yang ingin membida projek kerajaan melebihi RM100 juta untuk mempunyai pensijilan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS). Pelaksanaan pensijilan ini mandatori kepada pembida projek melebihi RM100 juta bertujuan untuk memastikan hanya syarikat yang benar-benar komited terhadap prinsip antirasuah dapat menyertai perolehan awam bernilai besar.
Objektif dan Matlamat Polisi
• Meningkatkan integriti dan ketelusan dalam proses perolehan awam.
• Mengurangkan risiko rasuah dalam kontrak bernilai tinggi.
• Memastikan syarikat mempunyai sistem pencegahan dalaman yang kukuh.
• Menarik keyakinan pelabur asing, khususnya dalam sektor infrastruktur dan perkhidmatan kerajaan.
• Meningkatkan reputasi antarabangsa Malaysia, khususnya dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan pelaporan kewangan antarabangsa.
Keberkesanan Tadbir Urus
Pensijilan ISO 37001 bukanlah sekadar pengiktirafan semata-mata, ia membina struktur sistematik dalam sesebuah organisasi bagi mengenal pasti, mengesan, dan mengurus risiko rasuah. Ia merangkumi:
• Dasar dan kod etika antirasuah yang diwajibkan kepada semua kakitangan dan rakan kongsi perniagaan.
• Latihan berkala dan peningkatan kesedaran terhadap integriti.
• Prosedur pelaporan dalaman (whistleblower) dan mekanisme siasatan bebas.
• Audit pematuhan berkala oleh badan pensijilan bebas.
Ini memberi kesan langsung kepada peningkatan tadbir urus korporat, dengan syarikat lebih berhati-hati dalam membuat keputusan kewangan, melaksanakan kontrak, dan melibatkan diri dengan ejen luar atau perantara.
Kesan Kepada Dunia Korporat
Bagi sektor swasta, syarikat akan dapat memperkukuhkan imej dan reputasi korporat syarikat yang disijilkan dilihat lebih telus, bertanggungjawab dan profesional. Syarikat akan dapat meningkatkan peluang pasaran antarabangsa melalui ISO 37001 diiktiraf secara global dan meningkatkan kredibiliti di mata rakan dagang luar negara. Bagi jangka masa panjang, inisiatif ini akan menggalakkan reformasi budaya dalaman dan organisasi terdorong untuk mewujudkan sistem integriti dalaman yang lebih teguh.
Namun, cabarannya ialah kos pelaksanaan yang tinggi, terutamanya bagi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kekurangan sumber manusia dan kewangan. Keperluan latihan dan kesedaran dalam kalangan pekerja akan mementukan ISO 37001 ini akan dapat dijalankan tanpa kompromi dan cabaran risiko “pensijilan kosmetik”, iaitu organisasi mendapatkan sijil tetapi tidak melaksanakan prinsip sebenar dalam operasi harian.
Kesan Kepada Ekonomi dan Pelaburan Asing
Dari sudut makroekonomi, syarat ini dilihat sebagai strategi pembersihan pasaran yang menyumbang kepada:
• Peningkatan keyakinan pelabur asing, kerana proses perolehan kerajaan yang lebih telus dan bebas rasuah akan meminimumkan risiko ketidaktentuan perniagaan.
• Pengurangan ketirisan dalam bajet kerajaan, memandangkan penyelewengan dana awam sering berlaku dalam projek mega.
• Peningkatan kualiti dan keberkesanan projek kerajaan, kerana pelantikan kontraktor lebih tertumpu kepada merit dan kelayakan sebenar.
Lebih penting, Malaysia akan memperkukuh kedudukannya dalam laporan badan antarabangsa seperti Transparency International dan Petunjuk Tadbir Urus Bank Dunia.
Namun, keberkesanan dasar ini tidak terlepas daripada beberapa cabaran:
• Jurang Keupayaan Syarikat
Syarikat besar dan multinasional mungkin tidak menghadapi kesukaran dari segi kos dan sumber untuk mendapatkan pensijilan. Namun, bagi syarikat tempatan yang bersaing dalam sektor pembinaan, teknologi atau perkhidmatan, kos pelaksanaan mungkin menjadi beban.
• Risiko Formaliti Tanpa Substansi
Terdapat kebimbangan bahawa sesetengah syarikat hanya mendapatkan pensijilan untuk memenuhi syarat kelayakan tender tanpa menghayati prinsip antirasuah secara menyeluruh. Ini menimbulkan risiko sistem menjadi simbolik, bukan substantif.
• Kekurangan Kepakaran Pensijilan
Permintaan tinggi terhadap pensijilan ini menjelang 2026 mungkin mengatasi kapasiti semasa badan pensijilan tempatan seperti SIRIM QAS, ABAC Center of Excellence, dan Bureau Veritas, sekali gus melambatkan proses kelayakan syarikat.
Penambahbaikan
Untuk memastikan pelaksanaan syarat ini benar-benar efektif, beberapa cadangan perlu dipertimbangkan:
• Insentif dan Pembiayaan
Kerajaan boleh menyediakan geran khas atau potongan cukai bagi syarikat tempatan yang melaksanakan ISO 37001, terutama bagi projek bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan kementerian.
• Program Latihan Berfasa
Pelaksanaan program seperti Sistem Integriti Korporat (CISM) oleh Institut Integriti malaysia (IIM) boleh membantu menyediakan latihan bersijil kepada pegawai integriti syarikat yang mahu membida projek kerajaan.
• Pemantauan Selepas Pensijilan
Mekanisme audit berkala secara rawak perlu dilaksanakan ke atas organisasi yang telah mendapat sijil, bagi mengelakkan “pensijilan palsu” dan memastikan sistem benar-benar dilaksanakan.
• Penubuhan Konsortium Industri
Kumpulan industri boleh menjadi rakan strategik dalam mengkoordinasikan pelaksanaan dan pemantauan pensijilan secara sektor demi sektor.
Pensijilan ISO 37001 sebagai syarat kelayakan membida projek kerajaan bernilai melebihi RM100 juta adalah satu langkah reformasi besar yang tepat pada masanya. Ia bukan sekadar peraturan tambahan, tetapi instrumen penting bagi memacu integriti, akauntabiliti dan profesionalisme dalam sektor awam dan swasta.
Keberkesanan langkah ini sangat bergantung kepada komitmen politik yang konsisten, kapasiti badan pensijilan, dan kesediaan industri untuk berubah secara struktur dan budaya. Sekiranya dilaksanakan dengan baik, dasar ini bukan sahaja akan menyumbang kepada pengurangan rasuah, tetapi juga akan meningkatkan kecekapan ekonomi negara serta membawa imej Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dalam arena global.
Usaha ini menandakan transformasi jangka panjang ke arah negara yang benar-benar menghayati prinsip integriti dan tadbir urus unggul, sebuah landskap ekonomi yang mampan, bebas daripada ketirisan dan penyelewengan. – UTUSAN
RAHMAN Mohd Din ialah Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM).
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN