PERSATUAN Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan melarang sepenuhnya penjualan vape dan rokok elektronik kerana ia menimbulkan lebih banyak isu sosial dalam kalangan pelajar.
CAP melihat ramai anak muda terjerumus ke dalam perangkap e-rokok dan akhirnya ketagih peranti ini.
Cecair yang digunakan di dalamnya mengandungi banyak bahan kimia berbahaya seperti nikotin, gliserin, glikol dan propilena, yang boleh menyebabkan penyakit pernafasan, kanser paru-paru dan kerosakan jantung.
Tinjauan CAP mendapati ramai pelajar menjadikan tandas sebagai kawasan merokok dan vape. Laporan ini terbukti apabila seorang pelajar tingkatan tiga dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar selepas diserang sawan dipercayai akibat vape.
Menurut pihak sekolah, mangsa dipercayai menghisap vape bersama rakannya di dalam tandas sekolah kira-kira pukul 9.30 pagi.
Dalam satu lagi kejadian pada Mac tahun lalu, seorang pelajar tingkatan dua di Kangar cedera pada kaki selepas terjatuh dari bumbung tingkat satu bangunan sekolah. Pelajar itu dipercayai khayal selepas menghisap vape.
Disebabkan itu, kami menyeru kerajaan mengambil tindakan tegas. Sementara CAP akan terus menggesa pendidik, ibu bapa, penjaga dan ahli komuniti untuk mendidik kanak-kanak tentang risiko vape.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek memberitahu pelajar boleh digantung persekolahan selama 14 hari atau dibuang sekolah jika melakukan kesalahan berulang menghisap vape atau rokok elektronik di sekolah.
Tindakan disiplin itu adalah bentuk ketegasan diambil Kementerian Pendidikan (KPM) bagi membendung isu penggunaan vape di sekolah seperti ditetapkan menerusi Surat Siaran Bilangan 17 Tahun 2015 yang melarang penggunaan rokok elektronik atau vape di sekolah.-UTUSAN
N.V.SUBBAROW
Pegawai Pendidikan Kanan dan Aktivis Anti Merokok Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)










