SIJIL Pelajaran Malaysia (SPM) merupakan satu titik tolak penting dalam kehidupan seorang pelajar. Ia bukan sahaja menandakan tamatnya fasa persekolahan menengah, malah menjadi medan penentu hala tuju masa hadapan.
Dalam dunia yang semakin kompetitif, kelulusan SPM semata-mata tidak lagi mencukupi untuk bersaing di pasaran pekerjaan. Majikan hari ini lebih cenderung memilih calon yang mempunyai kelayakan lebih tinggi, kemahiran teknikal serta kebolehan berfikir secara kritis.
Dengan pendidikan lanjutan, pelajar lebih bersedia menghadapi cabaran dunia sebenar dan menyumbang secara bermakna kepada masyarakat.
Contoh terbaik boleh dilihat dari negara-negara maju seperti Jepun, Jerman dan Korea Selatan. Di Jepun, kadar pelajar yang menyambung pelajaran selepas sekolah menengah melebihi 90 peratus. Budaya menuntut ilmu menjadi tunjang pembangunan negara dan pelajar dididik sejak kecil untuk tidak berhenti belajar.
Di Jerman pula, sistem pendidikan vokasional dan teknikal amat dihargai. Pelajar digalakkan menyambung pengajian dalam bidang kemahiran tinggi yang menjadikan mereka aset berharga kepada industri. Korea Selatan juga terkenal dengan etika belajar yang tinggi dan pelajar yang berjaya sering disanjung sebagai contoh kepada masyarakat.
Di institusi pengajian tinggi (IPT), pelajar bukan sahaja menimba ilmu akademik tetapi juga belajar berdikari, mengurus masa, berkomunikasi dan berorganisasi. Semua ini adalah kemahiran penting untuk membentuk seorang insan yang seimbang dari aspek intelek, emosi, rohani dan sosial. Selain itu, pelajar juga berpeluang melibatkan diri dalam aktiviti kokurikulum yang mampu mencungkil bakat dan potensi terpendam dalam diri masing-masing.
Terdapat juga pelajar yang ragu-ragu untuk menyambung pelajaran kerana faktor kewangan. Namun, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif seperti biasiswa, pinjaman pendidikan melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), program dermasiswa dan bantuan zakat untuk pelajar kurang berkemampuan. Oleh itu, halangan kewangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk tidak melangkah ke hadapan.
Selain itu, menyambung pelajaran membolehkan seseorang pelajar mengenali dunia luar dari lingkungan asal. Peluang belajar di bandar atau luar negara membuka minda kepada kepelbagaian budaya, pemikiran dan pengalaman. Ini membentuk pelajar menjadi individu yang lebih matang, terbuka dan mampu bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Mereka juga boleh membina jaringan hubungan yang luas yang kelak berguna dalam dunia kerjaya.
Dalam mencapai status negara maju, Malaysia perlu melahirkan lebih ramai profesional dalam pelbagai bidang seperti teknologi, perubatan, kejuruteraan, pendidikan dan sains sosial. Semua ini hanya dapat dicapai apabila pelajar sedar akan kepentingan menyambung pelajaran dan mengambil peluang yang tersedia untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan. – UTUSAN
ANIQ SYAFI ZAIMY
Multimedia University
Cyberjaya










