PENDIDIKAN dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) merupakan tonggak penting dalam pembangunan modal insan yang berkemahiran tinggi di negara ini. Seiring dengan peredaran zaman dan keperluan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), TVET menjadi medium utama bagi melahirkan tenaga kerja mahir yang mampu memenuhi keperluan pasaran industri moden.
Namun begitu, pengambilan pelajar dalam bidang ini perlu dirancang secara lebih strategik agar tidak berlaku ketidakseimbangan antara bilangan graduan dengan permintaan sebenar industri.
Ketidakseimbangan ini bukan sahaja merugikan individu, bahkan boleh menjejaskan matlamat pembangunan negara secara keseluruhan.
Hubungan erat antara institusi pendidikan dan sektor industri dapat memastikan setiap kursus atau program yang ditawarkan benar-benar memenuhi keperluan pasaran. Kerjasama ini boleh direalisasikan melalui mekanisme seperti Majlis Penasihat Industri, program perantisan berstruktur dan perkongsian data tenaga kerja antara pihak kerajaan dan majikan. Dengan pendekatan ini, institusi TVET dapat menyesuaikan kurikulum serta kuota pelajar mengikut unjuran permintaan industri semasa dan masa hadapan.
Selain itu, sistem maklumat pasaran buruh (LMIS) perlu diperkasa dan diintegrasikan dengan sistem pengurusan pendidikan agar maklumat berkaitan permintaan industri dapat dianalisis secara tepat dan digunakan dalam perancangan pengambilan pelajar. Data seperti kadar kekosongan jawatan, trend pekerjaan baharu serta ramalan pertumbuhan sektor tertentu harus menjadi asas penawaran program TVET. Tanpa data ini, keputusan yang dibuat akan bersifat spekulatif dan tidak berpandukan realiti pasaran kerja.
Kerajaan juga perlu memainkan peranan utama dengan menggubal dasar yang mewajibkan institusi TVET untuk melaksanakan penilaian kebolehpasaran graduan secara berkala. Penilaian ini boleh digunakan sebagai indikator kepada keberkesanan sesuatu program dan menjadi panduan untuk menyemak semula jumlah pengambilan pelajar.
Tidak semua kawasan mempunyai potensi industri yang sama, justeru institusi TVET harus menyesuaikan kursus yang ditawarkan dengan sektor ekonomi utama setempat. Sebagai contoh, institusi di kawasan pelancongan boleh menumpukan latihan dalam bidang hospitaliti atau perkhidmatan, manakala kawasan industri berat lebih sesuai dengan program kejuruteraan dan mekanikal.
Di pihak pelajar pula, mereka perlu diberikan maklumat yang telus dan terkini tentang prospek pekerjaan sebelum membuat pilihan. Pusat kerjaya sekolah, kaunselor pendidikan dan agensi kerajaan perlu memainkan peranan memberi pendedahan awal kepada pelajar agar mereka tidak membuat keputusan semata-mata berdasarkan minat tanpa mengambil kira peluang pekerjaan.
Pendidikan kerjaya yang berasaskan data sebenar dapat membantu pelajar membuat pilihan yang bijak dan tidak terperangkap dalam situasi persaingan sengit dalam bidang yang telah tepu.
Akhir sekali, penting untuk difahami perancangan pengambilan pelajar TVET bukanlah bertujuan mengehadkan akses kepada pendidikan, tetapi untuk menjamin masa hadapan graduan serta mengelakkan pembaziran sumber.
Negara memerlukan tenaga kerja mahir tetapi yang lebih utama ialah memastikan setiap tenaga mahir itu benar-benar diperlukan oleh industri.-UTUSAN
AZIZUL AZUDIN AZIZUL RAHMAN
Alam Impian, Shah Alam










