Nawaitu seorang guru: mengajar atau mendidik?

Nawaitu seorang guru: mengajar atau mendidik?

SEORANG guru yang benar-benar mendidik akan menjadi cahaya harapan buat anak muridnya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETELAH menonton filem Memori Seorang Guru lakonan Datuk Rosyam Nor, saya terpanggil untuk merenung kata-kata yang diluahkan watak Cikgu Sunan.

Beliau menyentuh satu topik yang amat relevan dan mendalam tentang perbezaan antara niat untuk mengajar dan niat untuk mendidik. Katanya, ramai yang datang ke sekolah dengan niat untuk mengajar, tidak ramai yang datang dengan niat untuk mendidik.

Kata-kata ini benar-benar menusuk kalbu saya sebagai bekas guru dan pendidik selama lebih tiga dekad.

Dalam dunia pendidikan, perbezaannya mungkin kelihatan halus, namun hakikatnya ia memisahkan antara sekadar menyampaikan ilmu dengan usaha membentuk insan.

Dalam Islam, niat atau nawaitu menjadi akar kepada segala amalan. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung pada niat.”

Maka, apabila seorang guru melangkah ke kelas dengan niat mendidik, bukan sekadar mengajar, setiap ucapannya, tindakannya, bahkan diamnya menjadi ibadah.

Dalam profesion perguruan, nawaitu memainkan peranan yang amat besar dalam membentuk keberkesanan serta keikhlasan dalam mendidik.

Mengajar bermaksud menyampaikan ilmu. Ia berkait kandungan, silibus dan metodologi. Guru menyusun rancangan pengajaran, menyediakan bahan bantu dan memastikan objektif pembelajaran tercapai.

Sementara mendidik memerlukan empati, kasih sayang dan keikhlasan. Ia adalah seni membentuk manusia membina keyakinan, menanam nilai murni dan memandu anak-anak agar menjadi insan yang seimbang dari segi intelek, emosi dan sahsiah.

Dalam era pendidikan yang menekankan pencapaian akademik, gred dan data kuantitatif, nilai sebenar pendidikan semakin terpinggir. Adakah guru digalakkan untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) semata-mata atau diberi ruang untuk benar-benar membina insan?

Pendidikan tidak sepatutnya menjadi ‘kilang’ menghasilkan sijil tetapi medan menyemai impian, membina karakter dan mencorakkan masa hadpaan negara. Guru yang mendidik dengan hati bukan sahaja mengajar, tetapi memahami.

Guru yang mendidik dengan hati bukan sekadar menyampaikan pelajaran tetapi menyelami kehidupan muridnya. Ada yang dibesarkan dalam kemiskinan, ada yang kekurangan kasih sayang dan ada yang menanggung trauma yang tidak terucap. Mereka ini tidak hanya perlukan ilmu, tetapi perhatian dan kasih sayang.

Seorang guru yang benar-benar mendidik akan menjadi cahaya harapan buat anak muridnya. Mereka tidak menilai berdasarkan keputusan peperiksaan semata-mata, tetapi melihat potensi tersembunyi yang mungkin tidak kelihatan di permukaan. Mereka sabar menunggu benih yang ditanam tumbuh dan berbunga, meskipun mengambil masa bertahun-tahun.

Kerana itu, menjadi seorang guru bukan sekadar pekerjaan sebaliknya amanah. Setiap hari, seorang guru berdepan dengan peluang untuk membentuk masa hadapan bangsa. Namun semuanya bermula dengan satu perkara iaitu nawaitu.

Apabila niat untuk mendidik, guru akan sabar dalam menghadapi kerenah murid. Guru tidak cepat menghukum, tetapi bersedia membimbing. Guru tidak hanya meminta murid menyalin nota tetapi menyemai nilai dan harapan.

Biar anak murid lupa formula sains atau teori tatabahasa, asalkan mereka tidak lupa nilai kejujuran, hormat-menghormati dan kasih sayang dipelajari daripada kita. Itulah sebenar-benarnya pendidikan.

Pendidikan bermakna bukan hanya berlaku di bilik darjah tetapi terjalin dalam hubungan ikhlas antara guru dan murid dalam usaha kecil penuh dengan kasih sayang, dalam pujian yang membina keyakinan dan kata-kata semangat membangkitkan harapan anak-anak.

Pendidikan sejati tidak bergantung pada bilangan A semata-mata, tetapi pada hati yang disentuh, jiwa yang disuburkan dan insan yang dibentuk. Inilah intipati mendidik sebenar iaitu usaha yang lahir dari hati, dengan keikhlasan dan rasa tanggungjawab untuk mencorakkan masa hadapan lebih bermakna.

Kembalikan roh seorang pendidik. Semak semula nawaitu, adakah anda mengajar untuk menyelesaikan silibus atau mendidik untuk menyentuh kehidupan?

Jadilah guru yang bukan sahaja berjaya di dunia tetapi juga di akhirat. Kerana setiap ilmu yang disampaikan dengan ikhlas akan terus mengalir sebagai amal jariah yang tidak putus-putus.

Ini kerana dalam setiap jiwa yang disentuh, di situlah keberkatan seorang guru bermula.-UTUSAN

SAMIHA MOHD. SALLEH
Kota Tinggi, Johor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN