Mesyuarat PIBG medan cetus idea

Mesyuarat PIBG medan cetus idea

MESYUARAT Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadi medan bagi membincangkan segal isu berbangkit di sekolah. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESYUARAT Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bukan sekadar agenda tahunan atau rutin formal semata-mata, tetapi medan penting yang boleh mencetus pelbagai idea bernas demi kebaikan dan kecemerlangan anak-anak di sekolah.

Dalam konteks pendidikan masa kini yang semakin mencabar, penglibatan ibu bapa secara aktif melalui platform seperti PIBG amat signifikan. Ia memberi ruang kepada ibu bapa untuk menyuarakan pandangan, berkongsi pengalaman serta mencadangkan penambahbaikan terhadap dasar dan pendekatan sekolah dalam mendidik murid. Lebih daripada itu, mesyuarat ini menjadi jambatan utama yang menyatukan suara ibu bapa dan guru dalam semangat kerjasama yang harmoni.

Kehadiran guru dalam mesyuarat PIBG melengkapkan lagi wacana pendidikan yang dibincangkan. Guru bukan sahaja mewakili suara profesional pendidikan, bahkan menjadi pemudah cara dalam menjelaskan dasar-dasar pengajaran, prestasi murid serta pelan pembangunan sekolah.

Melalui perbincangan yang terbuka dan telus, segala isu yang berbangkit dapat diselesaikan secara bijaksana. Ini termasuk isu kemudahan sekolah, kebajikan murid, pencapaian akademik dan disiplin pelajar. Dalam ruang ini jugalah guru dapat memperoleh sokongan moral dan material daripada ibu bapa untuk melaksanakan program atau projek yang memberi impak kepada kemenjadian murid.

Selain itu, mesyuarat PIBG juga membuka peluang kepada ibu bapa untuk melihat secara langsung hal ehwal dan pencapaian sekolah. Mereka bukan lagi sekadar pemerhati dari jauh tetapi dilibatkan secara terus dalam perancangan strategik sekolah. Melalui pembentangan laporan kewangan, laporan aktiviti dan perancangan tahun semasa, ibu bapa menjadi lebih peka dan bertanggungjawab terhadap arah tuju pendidikan anak mereka. Bahkan, mereka juga dapat memberi maklum balas secara membina dan menyuarakan cadangan penambahbaikan berdasarkan pengalaman peribadi atau kehendak komuniti setempat.

Peranan perasmi undangan dalam mesyuarat PIBG turut memainkan impak yang besar. Lazimnya, tokoh masyarakat, wakil rakyat, pegawai pendidikan daerah atau tokoh korporat akan diundang untuk merasmikan mesyuarat. Kehadiran mereka memberi nilai tambah kerana membawa bersama pandangan dari luar lingkungan sekolah. Ucapan dan amanat yang disampaikan boleh menjadi pencetus idea dan semangat kepada guru, ibu bapa dan juga murid yang turut hadir. Mereka juga seringkali menjadi jambatan kepada jaringan kerjasama yang lebih luas antara sekolah dan komuniti luar.

Pada masa sama, mesyuarat PIBG juga boleh menjadi wadah memperkukuh nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati, tanggungjawab bersama, amanah dan tolong-menolong. Ibu bapa yang aktif dalam PIBG sering menjadi contoh teladan kepada anak-anak. Mereka menunjukkan pendidikan adalah tanggungjawab bersama dan bukan diserahkan bulat-bulat kepada guru.-UTUSAN

MINHAT DAUD
Parit Sulong, Batu Pahat

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN