Lepasan sekolah agama berpeluang lanjut pelajaran di institusi pengajian tinggi

Lepasan sekolah agama berpeluang lanjut pelajaran di institusi pengajian tinggi

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEPASAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari sekolah menengah agama sering dilihat sebagai kelompok pelajar yang memiliki keistimewaan tersendiri. Mereka bukan sahaja dididik dalam bidang akademik arus perdana tetapi turut diberi penekanan dalam pendidikan Islam seperti al-Quran, hadis, fiqh dan tauhid.

Gabungan kurikulum akademik dan agama menjadikan mereka pelajar yang berdisiplin, berakhlak dan berwawasan.

Justeru, pandangan pelajar sekolah menengah agama tidak mempunyai banyak peluang melanjutkan pelajaran tidak tepat dan perlu diperbetulkan.

Laluan pendidikan selepas SPM terbuka luas, mereka boleh memilih mana-mana universiti dalam bidang agama dan pelbagai kolej pengajian Islam swasta yang lain. Selain itu, mereka juga boleh menyambung pelajaran ke luar negara melalui tajaan biasiswa atau pembiayaan sendiri.

Peluang melanjutkan pelajaran juga tidak terhad kepada bidang agama sahaja. Mereka boleh memilih bidang profesional seperti undang-undang, perakaunan, psikologi, pendidikan, kewartawanan, perubatan, farmasi dan kejuruteraan, asalkan mengambil mata pelajaran berkaitan di peringkat SPM dan memenuhi syarat minimum kemasukan ke program-program tersebut.

Ramai lepasan sekolah menengah agama yang berjaya menjadi doktor, peguam, jurutera, pensyarah dan ahli akademik dalam pelbagai bidang. Ini menunjukkan pendidikan agama bukan penghalang, bahkan boleh menjadi asas kukuh untuk kecemerlangan dalam bidang lain.

Tambahan pula, pelajar sekolah menengah agama sering dilengkapi dengan kemahiran insaniah yang tinggi seperti kepimpinan, kebolehan berucap di khalayak ramai dan kemahiran komunikasi antara manusia.

Di samping itu, peluang turut terbuka luas melalui institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi yang berminat dalam bidang kemahiran seperti teknologi maklumat, automotif, reka bentuk grafik, kulinari atau jahitan.

Satu cabaran yang sering dihadapi oleh pelajar sekolah menengah agama ialah kurangnya pendedahan terhadap laluan kerjaya dan pendidikan tinggi berbanding pelajar dari sekolah menengah harian biasa.

Oleh itu, pihak sekolah dan pentadbiran pendidikan perlu memainkan peranan yang lebih proaktif dalam memberikan pendedahan awal kepada pelajar tentang pelbagai opsyen selepas SPM. Program seperti taklimat kerjaya, lawatan ke institusi pengajian tinggi (IPT), seminar motivasi dan bimbingan permohonan universiti awam perlu dipertingkatkan.-UTUSAN

MUHAMMAD USAMAH HISHAMUDDIN & SITI NUR MADIHAH BINTI GHAZA
Sekolah Menengah Agama Darul Makmur Ganchong

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN