Jadikan sejarah Bukit Kepong sebagai pedoman

Jadikan sejarah Bukit Kepong sebagai pedoman

KEBERANIAN dan pengorbanan kaum keluarga anggota polis yang terlibat dalam peristiwa tersebut juga perlu dihargai.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Jangan bimbang Tuan OCPD (Ketua Polis Daerah), biar putih tulang, jangan putih mata” ucapan terakhir Sarjan Jamil Mohd. Shah ketika menghantar pulang Ketua Polis Daerah Pagoh, J.J. Raj pada petang 22 Februari 1950.

Dalam bukunya, The Struggle for Malaysian Independence, dalam bab 8 bertajuk The Malay Warriors of Bukit Kepong Police, 1950, mencoretkan pengalamannya melawat Balai Polis Bukit Kepong sehari sebelum kejadian serangan komunis.

Dalam suasana Tahun Baharu Cina, anggota komunis mengintip kekuatan pertahanan balai polis tersebut dan kawalan kampung.

Pada 22 Februari 1950, Raj bertolak dari Pagoh ke Lenga dengan satu unit Pasukan Harimau bersama seorang koperal dan sembilan orang konstabel. Beliau sampai pada pukul 11 pagi dan disambut Sarjan Jamil, keluarga anggota polis, anak-anak penduduk kampung dan penghulu.

Tujuannya ialah untuk memantau keadaan pertahanan di Balai Polis Bukit Kepong. Menjelang pukul 7 malam, beliau meninggalkan Bukit Kepong dan ke Balai Polis Pagoh pada pukul 12.30 pagi.

Pada 23 Februari 1950, sekitar jam 4.30 pagi, seramai 180 orang anggota komunis melancarkan serangan secara terancang di kedudukan mereka di belakang bukit berhampiran Balai Polis Bukit Kepong. Serangan komunis di balai polis tersebut berakhir sekitar pukul 6.30 pagi.

Bot Polis Marin dibakar dan Raj menggunakan jalan hutan dengan bantuan tiga orang polis bantuan sebelum sampai ke Bukit Kepong pada pukul 9 pagi.

Peristiwa serangan di Balai Polis Bukit Kepong berlalu 75 tahun dan menjadi sebahagian catatan sejarah. Galeri Darurat Bukit Kepong dibina khusus untuk merakamkan insiden dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan ketika tempoh darurat sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Baru-baru ini, saksi terakhir tragedi berdarah Bukit Kepong iaitu Allahyarham Jamilah Abu Bakar meninggal dunia. Dalam kejadian serangan di Bukit Kepong, suaminya Konstabel Abu Bakar Daud, anggota Polis Marin turut ditembak dan mengalami kecederaan parah.

Sejarah adalah kebenaran dan diharapkan keterangan saksi proto tersebut sempat dirakamkan ketika hayatnya agar tidak berakhir begitu sahaja. Keberanian dan pengorbanan kaum keluarga anggota polis yang terlibat dalam peristiwa tersebut juga perlu dihargai.

Keberanian yang luar biasa ditunjukkan oleh anggota polis, isteri dan keluarga mereka menentang serta berjuang mempertahankan balai polis yang menjadi lambang keamanan dan kedaulatan undang-undang daripada serangan komunis. ‘Anggota polis Melayu tersebut berkorban untuk negara tercinta’, ulas Raj. – UTUSAN

PROFESOR MADYA
DR. MOHAMED ALI HANIFFA
Pengerusi Program Sarjana Muda Sejarah Gunaan Dengan Kepujian, Jabatan Tamadun dan Falsafah,
Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah,
Universiti Utara Malaysia, (UUM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN