MAJLIS Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1446H/2025M (MTHQK) kali yang ke-67 telah berlangsung di Perlis selama enam hari bermula 27 April hingga 2 Mei lalu bersamaan 28 Syawal 1446H hingga 4 Zulkaedah 1446H.
Pertandingan Tilawah al-Quran di Malaysia merupakan platform penting dalam menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran, sekali gus memperkasa amalan dan pemahaman ajaran Islam.
Sejak mula diperkenalkan pada 1960-an, pertandingan ini menjadi acara tahunan yang sangat dinantikan, bukan sahaja untuk para peserta tetapi juga masyarakat secara keseluruhannya.
Sejak diperkenalkan di Malaysia, pertandingan ini bukan sahaja menjadi platform untuk mencari qari dan qariah terbaik tetapi juga untuk menanamkan rasa cinta dan hormat terhadap al-Quran dalam kalangan masyarakat.
Objektif utama pertandingan ini bagi memperkenalkan seni bacaan al-Quran yang betul dan indah serta memberi pengiktirafan kepada mereka yang mampu menguasai bacaan al-Quran dengan baik dan sempurna.
Pertandingan tilawah dalam konteks ini juga berfungsi sebagai platform untuk menggalakkan masyarakat Islam lebih mendalami isi kandungan al-Quran, bukan sekadar membaca dengan betul tetapi juga untuk menghayati pengajaran yang terkandung.
Pertandingan tilawah al-Quran memberikan impak yang sangat positif kepada masyarakat Malaysia, bukan sahaja dalam konteks pendidikan agama, tetapi juga dalam pembentukan sahsiah umat Islam.
Pertama, meningkatkan kemahiran al-Quran dalam kalangan generasi muda. Pertandingan ini menggalakkan generasi muda untuk mempelajari dan menguasai bacaan al-Quran sejak usia muda.
Dengan lahirnya contoh qari dan qariah yang berbakat, generasi muda dapat melihat bagaimana tilawah yang betul dapat mempengaruhi penghayatan dan pengamalan terhadap agama.
Kedua, menyemai rasa cinta kepada al-Quran. Melalui pertandingan ini, dapat menghidupkan bacaan al-Quran yang indah dan mempesonakan. Ini akan memberi impak positif kepada masyarakat untuk menghidupkan budaya membaca al-Quran dalam kehidupan harian, bukan hanya di bulan Ramadan tetapi sepanjang tahun.
Ketiga, meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pemahaman al-Quran. Tidak hanya berhenti di bacaan, pertandingan ini juga membuka ruang untuk umat Islam mengkaji makna dan tafsirannya.
Tadabbur adalah proses untuk mengaplikasikan ajaran al-Quran dalam kehidupan dan ia amat penting untuk pembangunan sahsiah serta sosial masyarakat.
Pertandingan ini di peringkat kebangsaan merupakan acara yang sangat signifikan dalam mengukuhkan hubungan umat Islam dengan al-Quran.
Pertandingan ini mengingatkan kita tentang pentingnya membaca al-Quran dengan benar dan memahami pengajarannya dalam kehidupan. Pertandingan ini bukan sahaja melahirkan qari dan qariah yang mahir tetapi juga menyemai nilai-nilai murni yang terkandung dalam al-Quran untuk membentuk umat yang lebih baik.
Sebagai umat Islam, kita harus terus menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup yang sejati, tidak hanya dalam bacaan tetapi juga dalam pengamalan dan pemahaman yang mendalam.-UTUSAN
PROF. MADYA DR. AZRI BIN BHARI
Profesor Madya di Akademi
Pengajian Islam Kontemporari (ACIS),
Universiti Teknologi Mara MARA (UiTM)










