PERIBAHASA Melayu ‘melentur buluh biar dari rebungnya’ membawa pengajaran bahawa pembentukan sahsiah, jati diri dan nilai kebangsaan mesti dimulakan sejak usia muda.
Dalam konteks pembinaan negara bangsa, ia bukan sekadar peribahasa tradisional tetapi prinsip asas yang mesti dijadikan panduan utama dasar pendidikan dan sosial negara.
Malaysia ialah sebuah negara majmuk dengan pelbagai kaum, budaya dan agama. Kepelbagaian ini adalah kekuatan, tetapi hanya jika ia dibina atas asas perpaduan dan kefahaman bersama.
Malangnya, sejak sekian lama kita melihat wujudnya sistem pendidikan yang terpisah mengikut kaum melalui sekolah vernakular, khususnya aliran Cina dan Tamil dilihat bercanggah dengan prinsip melentur rebung dalam satu acuan negara bangsa.
Tidak salah untuk mempertahankan budaya dan bahasa ibunda setiap kaum. Malah, Perlembagaan Persekutuan memberi ruang kepada kepelbagaian itu. Namun, apabila sejak usia tujuh tahun, anak-anak pelbagai kaum dididik dalam sistem yang terpisah, menggunakan bahasa pengantar yang bukan bahasa kebangsaan dan tidak dikumpulkan dalam satu ruang sosial yang sama, maka nilai kebangsaan tidak dapat disemai dengan berkesan. Ini menyebabkan buluh yang tumbuh kelak mungkin keras dengan identiti yang terlalu berbeza, malah berpotensi terasing dari semangat kebangsaan.
Sekolah vernakular, terutama aliran Cina dan Tamil, sekian lama menjadi institusi penting dalam masyarakat masing-masing. Ia melambangkan usaha mempertahankan bahasa dan budaya warisan. Namun dalam konteks Malaysia moden, ia turut memberi kesan langsung terhadap semangat integrasi nasional. Apakah kita mampu membina bangsa Malaysia yang bersatu jika anak-anak Melayu, Cina dan India tidak belajar, bermain dan membesar bersama di bawah satu sistem pendidikan kebangsaan?
Lebih membimbangkan, ada generasi muda hari ini yang tidak mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan dengan lancar, kurang mengenal sejarah kemerdekaan dan kabur tentang simbol serta nilai kebangsaan. Ini bukan sekadar soal bahasa, tetapi soal jati diri dan kesetiaan kepada negara.
Jika kita benar-benar ingin membina sebuah negara bangsa yang kukuh dan bersatu padu, maka sistem pendidikan mesti menjadi platform utama untuk melentur rebung secara bersama. Budaya dan bahasa warisan kaum boleh dipelihara melalui subjek tambahan, kelas petang atau aktiviti luar bilik darjah. Tetapi acuan kebangsaan mestilah satu dan ia mestilah dalam bahasa kebangsaan.
Kita tidak menafikan hak mana-mana kaum untuk mengekalkan identiti mereka. Namun dalam soal pembinaan negara, kita sudah perlu berfikir dan menilai: Kenapa terjadinya atlet berbangsa Cina yang mewakili negara di pentas antarabangsa tidak menyedari Jalur Gemilang di baju yang dipakainya berkedudukan terbalik, malah rakan pasukan, jurulatih serta pegawai sukannya juga tidak peka? Bagaimana sebuah surat khabar berbahasa Cina terbesar di Malaysia menyiarkan gambar Jalur Gemilang di muka hadapan tanpa bulan sabit, dari tukang cetak sehingga ke Ketua editor tidak satu orang pun peka?
Bukankah sudah tiba masanya kita memikirkan semula model pendidikan nasional kita, demi masa hadapan Malaysia yang lebih bersatu?-UTUSAN
AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu










