Bimbang pembangunandi bukit batu kapur

Bimbang pembangunan di bukit batu kapur

PEMBANGUNAN di sekitar bukit batu kapur perlu merujuk garis panduan bagi memastikan keselamatan orang awam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU pembangunan fasiliti komersial dalam Gua Cenderawasih yang terletak di Bukit Lagi, Kangar, Perlis menimbulkan kebimbangan berkaitan kesan pemuliharaan warisan geologi dan aspek keselamatan geobencana.

Ia merupakan khazanah warisan geologi negara yang bernilai tinggi serta menjadi rujukan penting kepada saintis dalam dan luar negara. Tindakan seperti mengecat dinding gua, membina struktur kekal serta menutupi formasi geologi semula jadi termasuk fosil dan stromatolit seperti yang dilaporkan media, pasti boleh menjejaskan nilai saintifik dan estetik kawasan tersebut.

Dalam konteks pembangunan geopark, semua aktiviti nilai tambah perlu selari dengan tiga elemen utama iaitu pemuliharaan, pendidikan dan pembangunan lestari.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) belum menerima sebarang permohonan rasmi daripada pengusaha mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mendapatkan ulasan teknikal bagi pembangunan atau aktiviti pengoperasian kafe di dalam gua ini. Sebarang pembangunan perlu dirujuk kepada JMG oleh PBT sebagai agensi teknikal di bawah Jawatankuasa ‘One Stop Center’ (OSC).

JMG juga menekankan pembangunan di sekitar bukit batu kapur hendaklah merujuk kepada Garis Panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Bukit Batu Kapur yang diterbitkan oleh JMG bagi memastikan keselamatan orang awam. Sebagai agensi teknikal yang bertanggungjawab dalam pembangunan geopark di peringkat nasional, JMG terus komited mengenal pasti, memulihara dan memberi khidmat nasihat teknikal berkaitan dengan pemuliharaan dan pengurusan sumber geologi termasuk geotapak bernilai tinggi.

JMG juga menyarankan agar Pelan Pembangunan Geopark Negara 2021-2030 (PPGN 2021-2030) dan Pelan Pelaksanaan Geopark Negara (PLGN) yang telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara ke-42 dijadikan panduan utama dalam sebarang pembangunan geopark termasuk di Perlis Geopark.

JMG akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan pembangunan dilakukan secara berhemah dan lestari, sejajar dengan prinsip ‘pembangunan tanpa kemusnahan’.-UTUSAN

JABATAN MINERAL DAN GEOSAINS (JMG)
Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×