PERPADUAN ialah asas kekuatan sesebuah negara. Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum dan agama, perpaduan menjadi tunjang utama bagi menjamin kestabilan dan kemajuan.
Pemimpin politik memainkan peranan besar dalam mencorakkan budaya politik yang menyatukan rakyat atau sebaliknya. Mereka bukan sekadar individu yang memegang kuasa tetapi juga pencorak hala tuju negara. Oleh itu, keikhlasan mereka dalam memelihara dan memperkukuh perpaduan sangat penting.
Pemimpin yang jujur akan mendahulukan kepentingan rakyat berbanding kepentingan peribadi atau kelompok manakala pemimpin bermuka dua hanya akan merosakkan jalinan harmoni yang dibina selama ini.
Malangnya, dalam arena politik tanah air, wujud sebilangan pemimpin yang tidak konsisten dengan kenyataan dan tindakan. Mereka bercakap lain di hadapan rakyat, tetapi berunding lain di belakang. Apabila pemimpin bercakap tentang perpaduan di khalayak ramai tetapi pada masa sama meniup api perkauman dan memecah-belahkan rakyat demi kepentingan politik, maka kesatuan yang dicanang itu hanya tinggal slogan kosong.
Pemimpin yang ikhlas akan sentiasa berpegang pada prinsip, walau diuji dengan tekanan politik. Mereka tidak mudah tunduk kepada tekanan pihak tertentu demi mendapatkan undi atau kuasa. Sebaliknya, bersedia berdepan dengan risiko politik demi mempertahankan nilai perpaduan dan keadilan.
Keikhlasan seorang pemimpin dapat dilihat melalui tindakan konsisten yang menolak politik kebencian, tidak memperalatkan agama atau bangsa untuk kepentingan tertentu serta sentiasa merapatkan jurang antara rakyat pelbagai latar belakang.
Dalam sejarah politik negara, perpaduan antara kaum bukanlah satu perkara baharu. Sejak zaman kemerdekaan, tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T. Sambanthan berjaya mengetepikan perbezaan untuk membentuk sebuah negara merdeka yang bersatu.
Mereka sedar tanpa perpaduan, negara tidak akan mampu berdiri teguh menghadapi cabaran luar dan dalam. Mereka juga tahu politik perkauman hanya akan membawa kepada kehancuran. Inilah semangat yang perlu dicontohi oleh pemimpin masa kini.
Malangnya, senario politik hari ini semakin dicemari retorik perkauman yang sempit. Demi kepentingan politik jangka pendek, ada pemimpin sanggup mengeluarkan kenyataan yang membakar sentimen kaum, memperlekeh budaya lain dan menghasut rakyat dengan maklumat tidak benar.
Ironinya, pada masa sama, mereka menampilkan diri sebagai pejuang perpaduan. Sikap hipokrit seperti ini menjijikkan dan harus ditolak oleh rakyat.
Perpaduan tidak boleh dibina atas dasar penipuan. Rakyat kini semakin celik dan tidak mudah tertipu dengan lakonan politik.
Mereka menilai pemimpin berdasarkan tindakan, bukan semata-mata kata-kata manis di pentas ceramah.
Jika rakyat mendapati pemimpin yang kononnya memperjuangkan perpaduan tetapi bersekongkol dengan pihak yang menyemai kebencian, maka kepercayaan akan luntur dan perpaduan akan tergugat.
Sikap talam dua muka dalam politik bukan sahaja merosakkan perpaduan tetapi juga membunuh integriti kepimpinan. Bagaimana mungkin rakyat mahu menaruh kepercayaan kepada pemimpin yang bersikap sedemikian?
Untuk memastikan perpaduan terus utuh, parti-parti politik perlu memainkan peranan secara matang. Mereka harus bersaing secara sihat, bukan dengan memecah-belahkan rakyat. Setiap dasar dan tindakan yang diambil harus menitikberatkan kepentingan bersama.
Selain itu, media juga perlu bertanggungjawab dalam melaporkan kenyataan politik secara adil dan tidak menyemarakkan provokasi yang boleh menggugat keharmonian.
Pendidikan juga memainkan peranan penting dalam membentuk generasi yang menghargai perpaduan. Namun, pendidikan sahaja tidak mencukupi jika pemimpin tidak menunjukkan teladan yang baik. Generasi muda memerhati gelagat pemimpin dan menjadikan mereka sebagai contoh. Oleh itu, adalah penting untuk pemimpin bersikap konsisten, telus dan berintegriti dalam segala tindakan mereka.
Sebagai rakyat, kita juga perlu bijak menilai dan tidak mudah terpedaya dengan pemimpin bermuka dua. Gunakan kuasa undi untuk menolak pemimpin yang memecah-belahkan rakyat dan memilih mereka yang benar-benar ikhlas dalam memperjuangkan perpaduan. Kita tidak boleh menyerahkan masa hadapan negara kepada pemimpin yang hanya mementingkan diri sendiri.
Malaysia memerlukan pemimpin yang berjiwa besar, yang mampu menggalas amanah untuk membina negara yang bersatu padu dan harmoni. Mereka harus mampu berdiri teguh di tengah-tengah perbezaan dan menjadi jambatan yang menghubungkan, bukan tembok pemisah. Keikhlasan dalam memperjuangkan perpaduan harus lahir daripada hati, bukan sekadar strategi politik.
Akhir kata, perpaduan adalah harta paling berharga bagi sesebuah negara. Ia tidak boleh dibina dalam sehari tetapi boleh runtuh dalam sekelip mata jika disalah urus.
Pemimpin politik memegang tanggungjawab besar untuk menjaga dan memelihara perpaduan ini.
Oleh itu, mereka perlu bersikap jujur, tulus dan menjauhi sikap talam dua muka. Hanya dengan keikhlasan yang sebenar, barulah perpaduan dapat diperkukuh dan negara terus melangkah maju.-UTUSAN
AZIZUL RAHMAN ABDUL RAHMAN
Tokoh Guru Kebangsaan










