Acara budaya, sukan kini daya tarikan pelancongan

Acara budaya, sukan kini daya tarikan pelancongan

ACARA berkonsepkan seni, budaya, sukan dan makanan tempatan mampu menjadi produk pelancongan yang lumayan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DI Pulau Pinang, peningkatan kehadiran pelancong domestik mahupun antarabangsa adalah impak daripada industri pengurusan acara.

Acara berprestij seperti Festival George Town, Festival Makanan Antarabangsa Pulau Pinang serta Maraton Antarabangsa Jambatan Pulau Pinang berjaya membuktikan acara berkonsepkan seni, budaya, sukan dan makanan tempatan mampu menjadi produk pelancongan yang lumayan.

Ini secara tidak langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi melalui industri perhotelan, restoran, pengangkutan dan perkhidmatan yang lain.

Bukan hanya sektor pelancongan yang membawa pulangan tetapi acara seperti ini juga membuka peluang perniagaan tempatan untuk lebih berkembang.

Penganjuran pesta makanan di Pulau Pinang membuka peluang kepada usahawan makanan dan restoran tempatan untuk memperkenalkan produk mereka kepada sasaran yang lebih luas. Dengan ini, ia turut menambah baik peluang pekerjaan dalam kalangan penduduk tempatan yang terlibat dalam pengendalian perkhidmatan semasa acara berlangsung seperti penyediaan makanan, penginapan dan pengangkutan.

Penganjuran acara seperti Penang Heritage Trust Walking Tour dan Festival Seni Jalanan Pulau Pinang menjadi wadah kepada masyarakat tempatan untuk memperagakan budaya, seni dan sejarah negeri kepada pelancong.

Kesemua acara ini tidak hanya membangkitkan semangat pemeliharaan warisan budaya tetapi juga menggalakkan diplomasi budaya antara pelancong tempatan dan antarabangsa.

Pengalaman pelancong yang hadir tidak hanya memberi pemahaman mendalam tentang budaya tetapi juga menjadi memori terindah dengan merasai dan memahami sendiri tradisi budaya tempatan. Ini membolehkan pengukuhan imej asli dan tersendiri negeri ini terus ditegapkan.

Antara acara lain yang berprofil tinggi mempamerkan aspek pengurusan acara terbaik di Pulau Pinang ialah Festival Sastera George Town (GTLF). Acara ini dianjurkan oleh Penang Institute dan merupakan festival sastera antarabangsa yang cukup berpengaruh di rantau ini.

Sejak ia mula diperkenalkan, acara ini berjaya menjadi platform untuk merangkumkan penulis, penyair, penterjemah, cendekiawan serta peminat sastera daripada dalam mahupun luar negara di bawah satu bumbung demi untuk meraikan majlis ilmu dan para pemikir berkelas tinggi. Kejayaan mengondol Anugerah Festival Sastera Antarabangsa Terbaik di Pesta Buku London pada 2018 adalah manifestasi kerja keras oleh warga institusi ini.

Ia tidak sekadar memartabatkan festival tersebut, malah mengesahkan warga institusi ini mampu menghasilkan acara berprestij mengikut piawaian antarabangsa.

Walau bagaimanapun, acara GTLF turut menjadi wadah membincangkan isu-isu sosial, politik, peranan wanita dalam masyarakat, kebebasan bersuara dan hak asasi manusia.

Industri pengurusan acara secara keseluruhannya memberi kesan yang sangat positif kepada sektor pelancongan Pulau Pinang. Negeri ini tidak sahaja berperanan menarik pelancong dari dalam dan luar negara, tetapi juga mempertingkatkan daya saing serta menggalakkan pertumbuhan ekonomi warga tempatan.

Industri ini juga turut membantu dalam mempromosikan warisan dan budaya negeri ini melalui penganjuran acara yang terancang lagi berstrategi.

Akhir kalam, adalah sangat signifikan untuk Pulau Pinang terus berkembang, maju serta memanfaatkan industri pengurusan acara sebagai salah satu strategi teras dalam pembangunan dan mempelbagaikan produk sektor pelancongan pada masa akan datang.-UTUSAN

MUHAMMAD HAFIZI ZAMRI
Pensyarah Kanan Pengurusan Acara,
Fakulti Pengurusan Dan Perniagaan,
Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN