KEHADIRAN Aidilfitri disambut meriah oleh umat Islam di seluruh dunia. Pelbagai aktiviti dilakukan termasuk trend tular dan selari dengan perkembangan teknologi semasa.
Dalam berinteraksi dengan kreativiti masyarakat Islam bagi memeriahkan aktiviti berbentuk kekeluargaan tersebut, terdapat suara-suara yang menyokong dan melarang. Setiap pihak mempunyai hujah yang tersendiri. Di pihak yang menyokong dan terlibat dengan trend tersebut, mereka cenderung melihat ia sebagai hiburan kekeluargaan semata-mata tanpa niat meniru amalan agama pihak lain.
Manakala bagi pihak yang melarang dan cenderung mengharamkan trend tertentu, mereka berpandangan ia boleh mencemarkan sambutan Syawal, melalaikan di samping adanya unsur penyerupaan dengan tarian orang Yahudi.
Perlu diingat, dalam rakaman trend yang dikongsi dalam media sosial mempunyai beberapa implikasi sama ada melibatkan keselamatan fizikal, harta benda dan juga spiritual. Dari aspek keselamatan fizikal, pendedahan wajah-wajah ahli keluarga di media sosial membuka ruang kepada penjenayah melakukan tindakan jenayah seperti penculikan dan tebusan wang ringgit.
Pendedahan suasana dan susun atur rumah juga membuka ruang kepada penjenayah untuk melihat ruang dalam rumah tangga, susun atur rumah, barang berharga dan ia membuka ruang kepada sasaran rompakan, rogol dan pembunuhan. Manakala dalam sisi yang yang lain, pendedahan wajah insan yang tersayang akan membuka ruang kepada ain golongan yang hasad dengki dan juga sihir pemisah kerana ada orang yang tersakiti dengan kebahagiaan dan keindahan keluarga orang lain, sedangkan kebahagiaan yang dipaparkan tidak mendatangkan kerugian kepada mereka walau sedikit. Mereka yang terkena ain pendengki dan sihir pendendam ini akan jatuh sakit dan perlukan rawatan yang sesuai.
Pada dasarnya, Islam tidak mengharamkan hiburan secara mutlak kerana naluri manusia biasanya ingin berhibur untuk merehatkan diri dan mencipta kenangan serta mewujudkan kegembiraan dan kebahagiaan.
Jadi, setiap orang mempunyai cara berhibur yang tersendiri. Selari dengan itu, dalam mencipta kandungan hiburan di media sosial dan dalam meniru trend di musim perayaan, umat Islam perlu berhati-hati agar tidak tergelincir dari landasan syariat.-UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. ANUAR
Pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul,
Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya










