PENIAGA kecil merupakan nadi ekonomi komuniti setempat. Di pasar malam, kaki lima atau gerai-gerai tepi jalan, kehadiran mereka bukan sahaja menambah warna pada suasana masyarakat, malah memenuhi keperluan harian pengguna.
Dalam usaha mencari rezeki halal, sering kali mereka berhadapan dengan cabaran daripada pihak penguatkuasa seperti didakwa dilayan secara tidak adil, bersikap kasar dan tindakan keterlaluan.
Sama ada daripada pihak berkuasa tempatan (PBT), polis, atau agensi penguatkuasaan lain, memainkan peranan penting dalam memastikan undang-undang dan peraturan dipatuhi. Tugas ini sememangnya mencabar kerana mereka perlu memastikan keseimbangan antara penguatkuasaan dan keadilan sosial. Namun demikian, pendekatan dan cara pelaksanaan tugas amat mempengaruhi persepsi awam terhadap integriti dan kebertanggungjawaban. Penting untuk anggota penguatkuasa menunjukkan teladan yang baik dalam setiap tindakan mereka.
Dalam konteks peniaga kecil, penguatkuasa harus menyedari setiap tindakan mereka boleh memberi impak besar kepada kelangsungan hidup seseorang.
Tindakan menyita barangan secara tiba-tiba tanpa notis atau amaran bukan sahaja menimbulkan kesusahan malah boleh memusnahkan sumber pendapatan utama mereka. Lebih menyedihkan, ada laporan yang mengatakan terdapat penguatkuasa yang bertindak kasar, menggunakan kata-kata kesat dan mengugut peniaga. Dalam beberapa kes, terdapat juga aduan tentang amalan rasuah seperti meminta bayaran tertentu sebagai ‘lesen’ untuk tidak disaman.
Amalan baik dalam penguatkuasaan bukanlah sesuatu yang idealistik, sebaliknya ia perlu dijadikan satu budaya kerja. Penguatkuasa yang bersopan santun, tegas tetapi berhemah dalam pendekatan akan lebih dihormati dan disegani. Komunikasi yang jelas dan mesra, disertai dengan penerangan tentang kesalahan dilakukan mampu membina pemahaman dan kerjasama daripada peniaga kecil.
Jika seorang peniaga didapati melanggar syarat lesen, penguatkuasa boleh terlebih dahulu memberi notis amaran dan masa untuk peniaga memperbaiki keadaan. Pendekatan ini tidak bermaksud mengabaikan undang-undang, tetapi lebih kepada menggunakan budi bicara yang wajar. Malah, dalam keadaan tertentu, penguatkuasa juga boleh berperanan sebagai penasihat untuk membantu peniaga memahami prosedur permohonan lesen, garis panduan keselamatan makanan atau lokasi yang dibenarkan untuk berniaga.
Latihan dan pemantapan nilai integriti amat penting. Setiap anggota perlu diberikan pendedahan tentang etika kerja, hak asasi peniaga serta kesan sosial daripada tindakan mereka. Mereka juga harus diajar untuk mengenal pasti situasi yang memerlukan pendekatan berbeza, bergantung kepada latar belakang dan keseriusan kesalahan yang dilakukan.
Oleh itu, setiap penguatkuasa harus sentiasa ingat mereka sedang diperhatikan oleh masyarakat. Tindakan mereka bukan sahaja memberi kesan kepada individu yang terlibat secara langsung, tetapi juga kepada reputasi jabatan atau agensi.-UTUSAN
NUR DAMIA QISTINA MOHD. NOOR HISHAM
Pelajar SMK Penghulu Saat,
Parit Sulong, Johor










