ISU tular melibatkan seorang guru yang menyuruh pelajar pulang ke China kerana tidak fasih berbahasa Melayu bukan sahaja mencetuskan keresahan awam, malah turut mengundang persoalan besar berkaitan hala tuju sistem pendidikan negara.
Meskipun kenyataan berbaur perkauman sebegitu tidak wajar dan patut dikecam, kita juga perlu melihat isu ini daripada sudut yang lebih luas dan berlapis. Ia bukan semata-mata tentang kesalahan individu, tetapi mencerminkan kelemahan struktur dalam pendekatan pengajaran, tekanan profesional warga pendidik serta dasar penilaian pelajar yang semakin kabur sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan simbol perpaduan nasional. Namun realitinya, masih ramai pelajar yang gagal menguasai bahasa ini dengan baik, tidak kira apa latar kaum sekali pun.
Sering kali, kelemahan dalam kalangan pelajar bukan Melayu mendapat perhatian media dan masyarakat, tetapi kita tidak boleh menafikan segelintir pelajar Melayu sendiri turut berdepan cabaran sama. Mereka lemah dalam tatabahasa, penulisan dan kefahaman, terutama apabila suasana pembelajaran tidak memberi tumpuan kepada pengukuhan asas yang kukuh sejak awal. Jelas, ini bukan isu perkauman tetapi berkait rapat dengan pendekatan dan keberkesanan sistem pengajaran bahasa di sekolah.
Dalam hal ini, peranan Kementerian Pendidikan (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) penting untuk diteliti semula. Pihak ini tidak boleh hanya bersuara atau mengambil tindakan selepas sesuatu isu tular, sebaliknya perlu turun padang secara berkala untuk memahami realiti sebenar di sekolah.
Sesi libat urus bersama guru dan pelajar, pemantauan terhadap pelaksanaan pedagogi yang berkesan serta penyediaan sokongan latihan profesional kepada guru perlu dijadikan amalan konsisten. Guru-guru memerlukan modul yang relevan dan latihan berkala untuk menangani kelas yang terdiri daripada pelajar pelbagai tahap keupayaan dan latar bahasa.
Tidak dapat dinafikan guru masa kini berhadapan dengan pelbagai tekanan termasuk beban tugas pentadbiran, keperluan mengisi sistem data berterusan, tekanan mencapai keputusan akademik yang baik serta berhadapan dengan cabaran disiplin pelajar. Dalam keadaan sebegini, emosi mudah terganggu dan kata-kata yang tidak sepatutnya mungkin terlepas.
Namun begitu, tekanan tidak boleh dijadikan alasan untuk seorang pendidik hilang kawalan dalam komunikasi. Kata-kata berbaur perkauman, sindiran atau penghinaan, walau tidak diniatkan, tetap memberi kesan buruk terhadap emosi dan harga diri pelajar. Lebih membimbangkan, ia boleh mencetuskan suasana pembelajaran yang tidak selamat dan memecah perpaduan di sekolah.
Selain daripada memperbaiki pendekatan pengajaran, satu isu penting yang wajar diberi perhatian ialah ketiadaan peperiksaan besar seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3).
Sejak pemansuhan kedua-dua peperiksaan ini, ramai guru dan ibu bapa menyatakan kebimbangan pelajar semakin hilang arah dan tidak bermotivasi untuk belajar. Tanpa penanda aras yang jelas, ramai pelajar hadir ke sekolah hanya untuk mengisi kehadiran, tanpa kesungguhan dalam penguasaan ilmu.
Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) yang kini menjadi kaedah utama penilaian pelajar pula masih berdepan dengan pelbagai kekangan. Ramai pelajar dan ibu bapa tidak memahami sistem ini secara menyeluruh, manakala guru pula tertekan dengan keperluan merekod data tanpa sokongan sistematik. Jika PBD terus dilaksanakan tanpa pembaikan menyeluruh, maka pelajar yang lemah akan terus ketinggalan kerana tiada rangsangan untuk berusaha lebih gigih.
Kita semua perlu bersetuju bahawa pendidikan harus menjadi medan membina, bukan menghukum. Pelajar yang tidak fasih dalam bahasa kebangsaan tidak harus dipinggirkan atau dijadikan bahan sindiran. Sebaliknya, mereka perlu dibantu dengan penuh empati dan diberi ruang untuk memperbaiki diri.
Kita mahu lahirkan generasi yang menguasai bahasa kerana mereka memahami dan menghargainya, bukan kerana dipaksa atau dipersendakan. Kita juga mahu guru-guru dihormati kerana membimbing dengan hikmah, bukan dilihat sebagai individu yang tertekan dan tidak terkawal.-UTUSAN
MDM LYEZA
Johor










