SEMENJAK akhir-akhir ini sering kedengaran pelbagai isu yang melibatkan golongan kanak-kanak seperti pengabaian, penderaan, kecuaian penjagaan dan lain-lain lagi.
Terdapat juga isu golongan kanak-kanak yang tidak dipantau dengan baik oleh pihak ibu bapa dan penjaga sehingga golongan-golongan ini terjebak dengan pelbagai jenis masalah sosial seperti basikal lajak, membawa kenderaan tanpa lesen, terlibat lumba haram, melepak di tempat-tempat awam, bermain mercun berbahaya, terlibat dengan penyalahgunaan dadah, aktiviti jenayah dan lain-lain lagi.
Semua pihak harus memainkan peranan bagi memastikan keselamatan golongan kanak-kanak sentiasa terjaga pada setiap masa.
Sebagai orang yang paling dekat, ibu bapa dan pihak penjaga memainkan peranan paling penting bagi memastikan anak-anak di bawah jagaan mereka tidak terdedah dengan sebarang ancaman yang boleh menggugat keselamatan diri atau membiarkan mereka terlibat dengan sebarang perkara yang boleh menjejaskan keselamatan orang lain.
Penting untuk diketahui, beban tugas dan tanggungjawab bagi menjaga dan melindungi kanak-kanak ini bukan sahaja satu bentuk tanggungjawab moral, malah ia turut telah jelas termaktub dalam peruntukan undang-undang antarabangsa serta dalam negara kita juga.
Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) telah mendefinisikan golongan kanak-kanak melalui Seksyen 2 sebagai:
• Seseorang yang di bawah umur 18 tahun
berhubung dengan prosiding jenayah, seseorang yang sudah mencapai umur bagi tanggungjawab jenayah sebagaimana yang ditetapkan dalam Seksyen 82 Kanun Keseksaan (Akta 574).
• Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) pula telah memperuntukkan bahawa mana-mana orang, yang merupakan orang yang mempunyai pemeliharaan seseorang kanak-kanak yang menganiayai, mengabaikan, membuang atau mendedahkan kanak-kanak itu atau bertindak secara cuai dengan cara yang mungkin akan menyebabkannya mengalami kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai, diabaikan, dibuang atau didedahkan sedemikian; atau yang menganiayai dari segi seks kanak-kanak itu atau yang menyebabkan atau membenarkannya dianiayai sedemikian, melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya.
Tindakan keras boleh diambil terhadap pihak yang gagal menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka dalam melindungi golongan kanak-kanak yang berada di bawah jagaan mereka.
Semua pihak khususnya ibu bapa dan penjaga perlu mengambil serius terhadap perkara ini serta mengambil langkah yang sewajarnya untuk menjaga serta melindungi golongan kanak-kanak yang berada dibawah jagaan mereka.
Keselamatan golongan ini perlu diberi fokus oleh semua pihak. Jiran tetangga serta masyarakat sekeliling juga harus memainkan peranan. Sikap tidak ambil peduli tidak boleh lagi dibiarkan berlaku dalam negara kita. Tindakan undang-undang perlu diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati cuai atau gagal melindungi keselamatan kanak-kanak. – UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)









