DALAM dunia yang semakin mencabar dan kompleks, isu pengurusan kewangan menjadi aspek penting dalam kehidupan.
Di Malaysia, perkembangan sistem kewangan Islam yang pesat mencerminkan komitmen negara untuk memenuhi keperluan menguruskan kewangan secara patuh syariah. Namun, kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap prinsip-prinsip kewangan Islam masih perlu ditingkatkan. Dalam konteks ini, peranan Perancang Kewangan Islam (IFP) menjadi signifikan.
IFP bukan sahaja bertindak sebagai perancang kewangan tetapi juga memainkan peranan besar dalam mendidik masyarakat tentang ekonomi Islam, seterusnya menyumbang kepada dakwah ekonomi Islam.
IFP bertindak sebagai ejen dakwah ekonomi Islam dengan mendidik masyarakat tentang perbezaan asas antara sistem kewangan konvensional dan Islam. Ramai individu masih kurang memahami konsep seperti riba, gharar dan maisir. Dengan memberikan pendidikan kewangan, IFP membantu masyarakat memahami pentingnya mengamalkan kewangan Islam yang tidak hanya memenuhi keperluan material tetapi juga spiritual.
IFP juga membantu meningkatkan literasi kewangan Islam dengan menawarkan panduan dalam membuat keputusan pelaburan, perancangan zakat serta pengurusan warisan melalui instrumen seperti hibah dan wasiat. Hal ini membentuk masyarakat yang lebih celik kewangan, sekali gus mengurangkan masalah ekonomi seperti muflis akibat hutang.
IFP memainkan peranan penting dalam menggalakkan perancangan harta yang patuh syariah. Sebagai contoh, masih ramai umat Islam tidak mempunyai dokumen seperti wasiat atau hibah, menyebabkan pembahagian harta menjadi rumit apabila berlaku kematian. Dengan bantuan IFP, perancangan harta dapat dilakukan secara sistematik dan patuh syariah, seterusnya mengelakkan pertikaian keluarga.
elalui cara ini dapat menyokong pembangunan institusi kewangan Islam melalui promosi produk patuh syariah seperti takaful, sukuk dan dana pelaburan Islam.
Sementara melalui nasihat kewangan berlandaskan maqasid syariah, IFP membantu menangani masalah sosioekonomi seperti kemiskinan, ketidakseimbangan pendapatan dan ketidaksamaan jantina dalam pengurusan kewangan.
Apabila kaitkan peranan IFP dengan isu ekonomi semasa yang berlaku sekarang, kita akan dapati beberapa isu yang perlu diberi perhatian serius iaitu:
• Krisis hutang isi rumah: Malaysia menghadapi cabaran besar dalam bentuk hutang isi rumah yang tinggi. Statistik menunjukkan ramai bergelut dengan hutang seperti pinjaman peribadi, kad kredit dan pembiayaan rumah. Dalam situasi ini, IFP memainkan peranan penting dengan menyediakan nasihat kewangan yang dapat membantu individu menguruskan hutang secara patuh syariah, termasuk membimbing mereka untuk mengelakkan amalan pembiayaan tidak adil atau membebankan.
• Ketidaktentuan ekonomi global: Dengan ketidaktentuan ekonomi global, seperti inflasi tinggi dan ketidakstabilan mata wang, masyarakat memerlukan panduan kewangan yang lebih strategik dan selamat. Produk kewangan Islam seperti sukuk dan dana unit amanah patuh syariah boleh menjadi alternatif pelaburan yang stabil. IFP membantu individu memahami manfaat produk ini serta memilih pelaburan yang sesuai dengan objektif kewangan mereka.
• Ketidakseimbangan sosial dan kewangan: Dalam konteks ini, IFP boleh memainkan peranan melalui dakwah zakat, wakaf dan sedekah sebagai mekanisme untuk merapatkan jurang sosial. Pengurusan zakat yang efisien juga dapat membantu golongan asnaf keluar dari kitaran kemiskinan.
• Peralihan ke arah digital: Peralihan kepada ekonomi digital dan kewangan teknologi (fintech) membuka peluang baharu bagi IFP untuk mendekati masyarakat. Platform digital memudahkan IFP memberikan pendidikan kewangan secara dalam talian, dan menjangkau golongan muda yang celik teknologi. Walau bagaimanapun, ia menimbulkan cabaran baharu seperti memastikan produk kewangan digital mematuhi syariah.
Kerana itu, IFP memainkan peranan penting dalam dakwah ekonomi Islam di Malaysia. Selain membantu individu dan masyarakat menguruskan kewangan secara bijak dan patuh syariah, ia juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam secara keseluruhan.-UTUSAN
MOHD. KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT).










