TERUS terang dikatakan, rasuah sukar untuk dibendung dalam negara kerana rata-rata orang ramai masih keliru dengan maksud rasuah dan perkara yang boleh dikategorikan sebagai rasuah.
Misalnya pemberian bantuan dan pengumuman peruntukan ketika sedang hadapi proses pilihan raya. Adakah ia salah satu bentuk rasuah? Apa yang lebih membimbangkan, orang ramai pun sudah menganggap perkara ini sebagai kebiasaan dan bukannya kesalahan.
Bagi mengelakkan isu ini berpanjangan dan menjadi pertikaian umum, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengeluarkan senarai jenis atau bentuk rasuah yang boleh berlaku sepanjang tempoh proses pilihan raya dengan lebih terperinci.
Misalnya, adakah pemberian bantuan ataupun pengumuman peruntukan yang dilakukan oleh mana-mana pihak khususnya berkaitan parti politik dan proses pilihan raya boleh dianggap sebagai rasuah?
Persoalan ini perlukan jawapan secara jelas ‘ya’ ataupun ‘tidak daripada SPRM dan SPR supaya semua pihak memahami perkara ini.
SPRM perlu memantau dengan ketat segala jenis kempen yang dilakukan sepanjang tempoh pilihan raya bagi membendung sebarang aktiviti yang berkaitan dengan rasuah oleh mana-mana pihak.
Proses pemantauan yang sama juga perlu dilakukan terhadap kempen yang dilakukan di alam maya melalui media sosial bagi membendung aktiviti rasuah.
Orang ramai perlu memberi kerjasama dengan pihak SPRM untuk membendung aktiviti rasuah sepanjang proses pilihan raya.
Orang ramai perlu melaporkan dengan segera kepada pihak pihak SPRM, SPR atau polis terhadap mana-mana pihak yang didapati menawar, memberi atau menerima rasuah beserta dengan bukti kukuh.-UTUSAN
DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










