Apakah agaknya tindakan Dr. Mahathir?

Apakah agaknya tindakan Dr. Mahathir?

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMBALINYA Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-47, beliau meluluskan satu polisi baharu yang melibatkan tarif import ke negara itu. Satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh kedudukan ekonomi negaranya, walaupun menerima pelbagai kritikan dari dalam dan luar negara.

Polisi Trump ini dijangka memberi kesan langsung kepada ekonomi negara-negara yang menjalinkan hubungan perdagangan dengan AS, termasuk Malaysia dan rakan-rakan ASEAN. Ramai penganalisis ekonomi melihat tindakan ini sebagai satu bentuk deklarasi perang perdagangan dunia, yang berisiko mengancam kestabilan ekonomi banyak negara.

Dalam situasi seperti ini, kita terkenang zaman Malaysia dipimpin Negarawan Ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sebaik sahaja menerajui pentadbiran negara, Dr. Mahathir melancarkan kempen Buy British Last serta memperkenalkan Dasar Pandang ke Timur, sebagai respons terhadap keputusan United Kingdom (UK) menaikkan yuran pengajian pelajar dari negara-negara Komanwel.

Tidak cukup dengan itu, beliau mengatur serangan korporat Dawn Raid yang menyaksikan pengambilalihan semula syarikat Guthrie dan pemulangan beribu-ribu ekar tanah ladang kepada Malaysia.

Tindakan Dr. Mahathir yang paling berani mungkin adalah ketika menolak bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sewaktu Krisis Kewangan Asia 1997/98. Ketika itu, beliau melaksanakan kawalan modal yang digelar ‘gila’ oleh pelabur antarabangsa. Namun, keputusan itu berjaya mengekang kerakusan spekulator kewangan seperti George Soros dan akhirnya menstabilkan ekonomi Malaysia lebih pantas berbanding negara jiran yang tunduk kepada IMF.

Dr. Mahathir juga dikenali sebagai antara pemimpin dunia Islam paling lantang mengkritik AS dan Israel, khususnya berkenaan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin serta dasar berat sebelah dan hipokrasi kuasa-kuasa Barat. Beliau turut mengkritik perdagangan bebas yang tidak adil, yang dianggap sebagai bentuk penjajahan ekonomi baharu.

Lebih mengagumkan, Dr. Mahathir turut menghantar Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ke Bosnia untuk melatih dan berjuang bersama-sama tentera Bosnia ketika umat Islam di sana menjadi mangsa pembunuhan etnik. Pada ketika itu, negara-negara Islam lain hanya menjadi penonton.

Itu hanyalah sebahagian daripada deretan tindakan berani dan luar biasa yang pernah beliau ambil. Dr. Mahathir seringkali menentang arus, namun keberanian dan ketegasannya terbukti berbaloi.

Dengan pengalaman luas dalam geopolitik antarabangsa, serta kedudukan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, satu blok ekonomi dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$ 4 trilion (RM18 trilion) dan kuasa beli sebanyak AS$ 13 trilion RM59 trilion), pastinya kita boleh membayangkan satu langkah luar jangka dari Dr. Mahathir.-UTUSAN

AZMAN MOHD. HASHIM
Ahli Majlis Proklamasi Orang Melayu

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya