KUALA LUMPUR: Pas perlu memberi penjelasan tentang individu daripada parti itu yang terlibat dalam Langkah Bangkok yang didakwa mempunyai kaitan dengan percaturan politik tertentu.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu tidak pernah dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat Perikatan Nasional (PN) dan ia amat penting bagi memastikan kepercayaan komponen terhadap parti itu tidak terjejas.
Justeru beliau akan membangkitkan persoalan mengenai Langkah Bangkok pada Mesyuarat Tertinggi PN, esok.
“Saya ingin tahu apa berlaku dalam Langkah Bangkok. Saya sendiri kalau boleh memang mahu membangkitkan perkara itu dalam mesyuarat itu.
“Saya dimaklumkan mengenai siapa pemimpin Pas terlibat dalam langkah tersebut tetapi tiada kepastian. Jadi perkara itu akan kita minta penjelasan esok. Saya sendiri akan bertanya hal itu dalam mesyuarat nanti,” katanya dalam temubual eksklusif bersama Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan perancangan dibuat bekas timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk menjadi Timbalan Perdana Menteri dengan membentuk gabungan bersama parti lain.
Pertemuan tersebut disahkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di mana antara perbincangan tersebut adalah berkaitan isu penyatuan Melayu dan Islam.
Susulan itu, Hamzah berkata, pertemuan di Bangkok turut melibatkan wakil parti lain termasuk pemimpin Pas, namun Pengerusi PN, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan terlibat dalam pertemuan tersebut.
Ahmad Faizal berkata, beliau yakin Pas tidak akan menjalinkan kerjasama ‘pintu belakang’ kerana yakin dengan sokongan masyarakat terhadap PN.
Malah beliau percaya Pas tidak mempunyai hasrat meninggalkan rakan sekutu iaitu Bersatu sambil menyifatkan kepimpinan Pas sebagai pimpinan yang baik. – UTUSAN










