SECARA rasionalnya, negara-negara Islam seperti Qatar, Bahrain, Jordan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi tidak sepatutnya bermusuh dengan Iran. Hubungan persaudaraan serantau yang berteraskan akidah Islamiah sebenarnya jauh lebih tulen berbanding sentimen politik yang sengaja diadu-domba.
Rakyat di negara-negara ini sama sekali tidak sepatutnya diheret ke dalam kancah perang proksi.
Namun begitu, keterikatan politik serta dasar luar kerajaan masing-masing sebagai sekutu tegar Amerika Syarikat (AS) mengundang malapetaka kepada rantau ini.
Tindakan membenarkan pembinaan pangkalan tentera asing di bumi mereka akhirnya mengheret negara-negara ini ke medan pertempuran. Keputusan berisiko inilah yang mencetuskan krisis keselamatan serantau yang kini mula tidak terkawal.
Apabila ketegangan memuncak, tindakan Iran membalas bedilan secara terus terhadap pangkalan-pangkalan tentera AS tersebut adalah satu reaksi peperangan yang dijangka.
Malangnya, kedaulatan serta keselamatan negara-negara jiran yang menempatkan pangkalan ini turut terancam dengan kesan kerosakan yang amat bahaya. Serangan pelbagai hala ini secara langsung meletakkan nyawa rakyat tempatan di hujung tanduk.
Inilah harga darah yang sangat mahal terpaksa dibayar apabila ketua-ketua negara Islam membenarkan diri mereka menjadi alat percaturan pentadbiran di Washington. Dasar luar yang terlalu bergantung kepada payung keselamatan kuasa asing akhirnya memakan diri dan mengorbankan kedaulatan tempatan.
Anehnya, walaupun wilayah fizikal negara-negara Arab ini dilimpahi dengan kekayaan hasil petroleum bernilai trilion dolar, namun keupayaan pertahanan kendiri mereka sangat rapuh.
Teknologi ketenteraan dan keselamatan sempadan negara masih diimport dari pihak luar.
Ketergantungan strategik inilah yang terus menerus merantai kebebasan negara tersebut.
Kegagalan besar dalam membina kekuatan ketenteraan tersendiri menyebabkan umat Islam terus dilihat lemah dan amat mudah diperkotak-katikkan musuh.
Telah tiba fasa kemuncaknya untuk komuniti umat Islam sejagat tanpa mengira latar belakang mazhab atau sempadan geografi negara, kembali bersatu padu sepenuhnya.
Pembinaan perpaduan ummah bersepadu kekal sebagai satu-satunya perisai paling ampuh ketika menghadapi krisis berdarah.
Setiap titis sumber kekayaan hasil bumi berharga seperti petroleum mesti ditadbir urus dengan berintegriti tinggi serta sangat bijaksana. Sebahagian besar keuntungan ini wajib dilaburkan kembali ke dalam rantau Islam untuk pembangunan infrastruktur ekonomi, pendidikan teknikal dan pemerkasaan logistik tempatan. Kita harus nekad berhenti daripada menyumbang dana kepada industri senjata musuh.
Pemerkasaan tahap kapasiti ketenteraan yang bersifat mandiri adalah prasyarat kemandirian mutlak sekiranya blok negara-negara Islam benar-benar ingin dihormati serta berdiri setaraf dengan kuasa besar lain.
Konsep kuno yang mementingkan kebergantungan keselamatan kepada pakatan negara barat perlu dihapuskan agar kita tidak lagi diugut kelak.
Melalui kekuatan dalaman yang teguh sahaja, kemerdekaan geopolitik sebenar boleh dicapai selamanya.
Kita sangat berharap agar tragedi Ramadan berdarah pada tahun ini menjadi titik pengajaran bermakna yang menyedarkan umat Islam daripada lena mimpi yang panjang. –UTUSAN
PROFESOR MADYA DR. MOHD. YUSRI IBRAHIM
Universiti Malaysia Terengganu (UMT)











