Ahli politik usah ambil kesempatan

Ahli politik usah ambil kesempatan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak khususnya ahli politik tidak wajar mengambil kesempatan dengan memainkan isu yang berpotensi mencetuskan provokasi antara kaum, sebaliknya perlu menjadi pendamai dan berusaha menjernihkan keadaan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berata, isu perkauman perlu ditangani dengan cermat dan tindakan segera perlu diambil terhadap perkara yang menimbulkan rasa tidak puas hati termasuk isu lama yang selama ini diabaikan.

“Tindakan segelintir pihak mencetuskan ketegangan perlu ditangani segera oleh pasukan keselamatan bagi mengelak keadaan menjadi lebih serius.

“Pas melahirkan kebimbangan terhadap individu tidak bertanggungjawab yang mengambil tindakan sendiri termasuk kejadian membakar kereta pihak tertentu dan provokasi lain se­perti memijak al-Quran, isu rumah ibadat dan sebagainya yang boleh mencetuskan sensitiviti kaum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sementara itu, Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan berkata, ada pihak sengaja bertindak untuk tujuan provokasi dengan memuat naik kandungan menghina kaum dan agama lain.

“Jika tidak ditangani secara tuntas, perkara ini boleh membarah menjadi lebih serius.

“Sebagai ahli politik, semua pihak harus memainkan peranan meredakan ketegangan dan bukannya menyimbah minyak ke atas api.

“Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas sama ada ia melibatkan penghinaan terhadap kitab suci al-Quran, simbol penganut agama Hindu atau mana-mana agama lain.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pemilik serta pengendali media sosial juga harus bekerjasama bgai menurunkan kandungan yang boleh mencetuskan huru-hara dalam kalangan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×