PADA suatu ketika Gabenor Mesir, Amr ibn al-Ashdi, ingin mendirikan masjid di tanah milik seorang Yahudi tua. Yahudi tersebut tidak berpuas hati lalu mengadu kepada Khalifah Omar.
Khalifah Omar menyuruh orang Yahudi tersebut menyerahkan tulang yang telah dicatas kepada gabenor, tanpa sebarang pesanan. Apabila gabenor menerima tulang itu dan melihat kesan pedang pada tulang, gabenor menggigil ketakutan lalu mengarahkan supaya tanah Yahudi tadi dipulangkan.
Jawab gabenor, “Aku kenal kesan pedang Khalifah Omar. Beliau tidak perlu mengarahkan apa-apa, cukup dengan kiasan tulang kambing sekiranya aku tidak berlaku adil.”
Ini menunjukkan keadilan dalam Islam tidak mengenal warna kulit dan anutan seseorang, walaupun seorang Yahudi.
Dalam isu tanah rizab di Raub, ia tidak dimiliki oleh peneroka, tetapi tanah tersebut diteroka dan diusahakan sejak puluhan tahun yang lalu. Mengapa tiada tindakan diambil sejak mula tanah tersebut diceroboh?
Peneroka berulang kali memohon pemilikan tanah tersebut dan bersedia membayar harga tanah dan cukai tahunan yang dikenakan. Mengapa tidak dilayan dan tiada tindakan diambil?
Isu berbangkit setelah peneroka menolak cadangan sebuah syarikat untuk menguruskan jual beli Durian King yang dihasilkan di tanah yang diceroboh. Mengapa sekarang baru diambil tindakan tegas? Seharusnya kita menilai isu ini tanpa prejudis terhadap warna kulit dan anutan seseorang, tetapi berdasarkan konsep keadilan dalam Islam.
Tindakan yang diambil seharusnya bersifat adil dengan mengambil kira kegagalan pejabat tanah bertindak lebih awal sebelum peneroka mengeluarkan modal dan titik peluh mengusahakan tanah tersebut.
Ia tidak harus bersifat menganianya, yang tidak membawa apa-apa kebaikan. Sebaliknya menegakkan keadilan tanpa mengira kaum akan mewujudkan keharmonian dan saling menghormati.-UTUSAN
NORUDDIN IDRIS
Pahang










