Permainan Gacha ialah judi moden?

Permainan Gacha ialah judi moden?

SISTEM Gacha menimbulkan kebimbangan dari segi sosial dan agama
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMAINAN video elektronik berkembang pesat seiring dengan kemajuan teknologi. Pada awal penciptaannya sekitar 1950-an, permainan ini sangat terhad dari segi penggunaan dan hanya boleh dimainkan pada satu peranti tertentu.

Pada masa itu, tempat-tempat seperti arked di Amerika Syarikat (AS) menjadi pusat hiburan yang menawarkan pelbagai jenis permainan antaranya Super Mario, Pacman dan Galaga.

Permainan-permainan ini kebanyakannya menggunakan konsep 2D dan hanya boleh dimainkan melalui komputer atau konsol seperti Playstation 1 (PS1), PS2 dan GameBoy.

Namun, di sebalik hiburan yang ditawarkan, permainan video juga mempunyai impak negatif. Kajian menunjukkan pemain yang terlalu fokus dan kerap bermain permainan video boleh mengalami ketagihan, kecenderungan untuk berbelanja secara berlebihan dan penurunan dalam hubungan interpersonal dengan orang sekeliling.

Salah satu trend terkini dalam permainan video ialah sistem Gacha atau permainan Gacha. Sistem ini semakin popular kerana ia memberikan keuntungan yang besar kepada syarikat pembangun permainan.

Terdapat beberapa faktor menyebabkan pemain terikat dengan sistem Gacha, antaranya kemudahan mendapatkan item langka, daya tarikan acara terhad dan keseronokan kemenangan pertama. Maka, pemain akan mula mengalami ketagihan untuk terus mencuba pada masa seterusnya. Secara tidak langsung, tingkah laku pemain itu telah dimodifikasi untuk bermain permainan secara konsisten.

Sementara dari perspektif psikologi, teori Operan Conditioning menjelaskan tingkah laku yang diikuti peneguhan positif cenderung untuk diulangi. Pemain membuat tikaman untuk mengelakkan pengalaman negatif seperti kalah dalam misi kerana kekurangan item yang kuat.

Sistem Gacha menimbulkan kebimbangan dari segi sosial dan agama. Kajian Muhammad Khairul Iman Mohd. Kiffy dan Dr. Mustafa Mat Jubri@Shamsuddin mendapati sistem ini mengandungi unsur gharar (ketidakpastian) dan maisir (judi) yang bertentangan dengan prinsip Islam.

Oleh itu, penting untuk ahli agama dan ilmuan di Malaysia meneliti isu ini bagi mengelakkan kesan negatif yang lebih besar terhadap masyarakat.

Bagi mereka yang sudah mengalami ketagihan pada sistem ini atau melihat orang terdekat yang mengalami masalah ini, maka perlu diberikan bantuan dan bawa mereka kepada ahli psikologi atau kaunselor untuk mendapatkan intervensi yang sepatutnya.-UTUSAN

RAHIMEY RAHMAN
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN