Pasar besar kotor, tidak terurus

Pasar besar kotor, tidak terurus

TAHAP kebersihan di Pasar Besar Sena di Kangar Pelis gar kotor dan tidak menyenangkan pengunjung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA sering berkunjung ke Pasar Besar Sena di Kangar, Perlis untuk membeli pelbagai barangan keperluan dapur.

Memang telah sekian lama saya menjadi pengunjung tetap pasar tersebut. Namun, masalah kebersihan di dalam pasar kurang menyenangkan. Ia seperti tidak terurus.

Di bahagian jualan barangan basah, keadaan lantai simen licin, amat bahaya kepada pelanggan-pelanggan terutama yang sudah berusia tua. Jika tidak berhati-hati, tersilap langkah boleh tergelincir dan jatuh.

Di samping itu najis kucing dan burung merpati berselerakan di merata tempat. Amat jijik dipandang.

Keadaan sedemikian sangat memalukan terutama kepada pelancong yang datang ke Perlis untuk berkunjung ke pasar berkenaan bagi membeli barangan keperluan.

Jika dibuat perbandingan, keadaan ini amat jauh ketinggalan berbanding pasar di negara jiran, seperti Thailand. Di sana mereka cukup mengambil berat soal kebersihan.

Saya bukan hendak mengagung-agungkan negara luar, tetapi tidak salah jika sesuatu yang baik diambil sebagai panduan.

Agensi berkaitan jangan sekadar bertindak kepada peniaga kerana mengotorkan tempat berniaga tetapi mereka juga perlu membuat sesuatu untuk memastikan pasar tersebut sentiasa bersih.

Pilihan terakhir, peniaga di Pasar Besar Sena boleh bermuafakat dan bekerjasama menganjurkan gotong-royong membersihkan pasar berkenaan seminggu sekali. Jika pagi mereka berniaga, gotong-royong boleh dibuat pada waktu petang.

Setahu saya satu ketika dahulu pernah wujud Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar Besar Kangar. Saya tidak pasti adakah persatuan berkenaan masih wujud ataupun tidak?

Kalau persatuan masih wujud, kerja-kerja gotong-royong membersihkan pasar boleh dikendalikan oleh persatuan itu sendiri.

Ini sekadar cadangan. Maaf jika ada mana-mana pihak yang tersinggung.-UTUSAN

TEROPONG ANAK PERLIS
Kangar, Perlis

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN