SEJAK puluhan tahun dulu isu projek perumahan terbengkalai sudah wujud dan belum berakhir lagi. Media juga sering mendedahkan isu ini, betapa ramainya bernasib malang ‘kehabisan’ duit begitu sahaja.
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memaklumkan terdapat 250 projek projek perumahan terbengkalai di seluruh negara sejak 2009. Ini bermakna ada projek terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.
Persoalannya kenapa isu ini tidak dibahaskan secara terperinci sedangkan alasan paling kerap diberikan adalah pemaju kurang berkemampuan dari segi aliran wang tunai dan pengurusan untuk melaksanakan projek perumahan.
Disarankan supaya bakal pembeli hartanah berhati-hati serta lebih bersikap tunggu dan lihat. Maksudnya tidak terlalu ghairah dan tergesa-gesa membuat tempahan dan membeli rumah, sebaliknya lihat kemajuan projek jika telah mencapai lebih 15 peratus siap, barulah membuat pembelian atau tempahan.
Elakkan dari membuat tempahan di hari pelancaran penjualan melainkan tanah untuk tapak projek sudah wujud dan terdapat tanda-tanda projek akan di mulakan, disamping membuat semakan dari Jabatan Kerajaan berkaitan seperti Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Tanah Daerah, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian dan lain-lain. Yang lebih penting adakah pemaju berkenaan boleh dipercayai dan berwibawa.
Pihak berkuasa kerajaan yang berkaitan perlu memikirkan dan mencari formula yang lebih fleksibel supaya dapat elak dari membina perumahan besar-besaran hingga melebihi permintaan di sesuatu kawasan selain memberi kelonggaran supaya boleh dibina secara berfasa dengan mengecualikan syarat-syarat teknikal yang masih boleh dilonggarkan seperti kolam kumbahan najis berpusat diganti dengan tangki septik individu.-UTUSAN
TEROPONG DO RE MI
Setapak, Kuala Lumpur










