Jangan pisahkan mana-mana ilmu dari sudut Islam

Jangan pisahkan mana-mana ilmu dari sudut Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

UNIVERSITI mempunyai peranan yang amat penting dalam pembentukan nilai dan ketamadunan sesebuah bangsa. Ia bukan sahaja berperanan sebagai tempat penyebaran ilmu tetapi juga platform mahasiswa mempraktikkan nilai-nilai insani agar menjadi insan yang kamil.

Justeru, kerangka akademik sesebuah universiti adalah sangat penting dalam menentukan matlamat ini tercapai. Contohnya, subjek akademik harus disepadukan dengan nilai insani dan bukannya dipisah-pisahkan sehingga mahasiswa merasakan nilai insani tiada kaitan dengan subjek akademik yang dipelajari.

Selain itu, wacana-wacana ilmu amat penting bagi mengasah minda, meluaskan serta menajamkan pemikiran pelajar agar tidak terbelenggu dalam mentaliti belajar untuk mengejar ijazah semata-mata.

Malah, ia akan menjadikan mereka lebih matang serta tidak mudah terpengaruh dengan ideologi songsang dan sesat.

Awal bulan ini, saya berpeluang menjadi pemudah cara bagi sebuah majlis di Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) bertajuk, Perjalanan UIAM: Daripada PengIslaman Ilmu Kepada Epistemologi Tauhid yang menampilkan Prof. Datuk Dr. Muhammad Nur Manuty dan Prof. Datuk Dr. Mohamad Fauzan Noordin sebagai panel program.

Antara perkara menarik dibincangkan ialah perihal pendekatan sekular yang masih wujud dalam institusi pendidikan Islam. Hal ini berlaku apabila ilmu aqliyah diajar dari sudut pandangan sekular, terasing daripada elemen Islam yang diajar secara berasingan sebagai sampingan semata-mata. Lebih memudaratkan lagi ialah apabila aspek dalam pengajian sekular itu bertentangan dengan agama.

Sebagai contoh, pembelajaran mengenai ideologi komunis dalam subjek ilmu politik diajar melalui perspektif teori mereka sahaja tanpa diintegrasikan dengan penilaian daripada perspektif agama. Lalu kita mengharapkan pelajar sedar akan kemudaratan komunisme hanya selepas menghadiri kuliah subjek agama pada hari yang lain.

Malangnya, terdapat pelajar yang menerima secara bulat-bulat teori yang diajar, lantas melihat nilai komunisme dari sudut yang positif walhal ia jelas bertentangan dengan agama.

Tambahan pula di luar dewan kuliah, pelajar diasak kiri dan kanan dengan pelbagai ideologi dan pemikiran berhaluan serupa.

Dalam memahami perjalanan keilmuan, UIAM melalui kerangka pengIslaman ilmu dan epistemologi tauhid, kita perlu memahami segala ilmu dimiliki dan ia berpunca daripada keesaan Allah.

Pemahaman tentang pengIslaman ilmu tidak boleh datang dengan tanggapan dipengaruhi idea dan naratif Barat yang melihat semua cabang ilmu itu terpisah-pisah. Lebih-lebih lagi apabila melibatkan ilmu berkaitan agama, ia tidak boleh dipisahkan daripada hal duniawi, seperti mana hal duniawi tidak boleh dipisahkan daripada agama.

Mengajar ilmu aqliyah secara terpisah dengan tambahan subjek berkaitan agama secara berasingan, hanya mengukuhkan prinsip sekular yang memisahkan ilmu agama daripada cabang ilmu lain dalam bidang pengajian berbeza-beza.

Daripada kesedaran inilah maka, semasa penubuhan UIAM, Allahyarham Prof. Ulung Mohd. Kamal Hassan tidak mahukan satu fakulti khas bagi Pendidikan Islam sahaja, kerana ia mesti diterapkan dan diintegrasikan di dalam setiap silibus yang diajar.

Berdasarkan kerangka ini, UIAM memulakan langkah ke arah penyepaduan semula pelbagai bidang ilmu. Malah, banyak institusi pendidikan Islam di seluruh dunia juga melakukan hal yang sama dengan fahaman bahawa segalanya dimiliki Allah.

Dari sudut akademik pula, universiti harus membuka peluang kepada mahasiswa untuk memaksimumkan potensi diri dan bukannya memenjarakan mereka dalam kerangka yang terbatas dan kejur. Mahasiswa harus diberi peluang meneroka bidang-bidang yang mereka minati selagi mampu.

Ketika zaman kegemilangan Islam dahulu, ramai tokoh sains dan ilmu kontemporari ulung dunia berasal daripada dunia Islam. Tatkala kebanyakan tamadun dunia masih jahil dengan kepercayaan tahayul, umat Islam berada di hadapan dalam bidang ilmu sains dan matematik.
Malah, banyak daripada teknologi yang kita nikmati hari ini berasal daripada ciptaan dan penemuan oleh tokoh cendekiawan Islam pada zaman tersebut.

Menarik sekali, mereka bukan sekadar berpengetahuan dalam bidang sains sahaja, tetapi turut mendalami pelbagai bidang lain. Malah, pada masa sama ramai yang begitu alim dalam hal agama.

Amat jelas sekali pada era kegemilangan tersebut, masyarakat Islam mempunyai fahaman bahawa setiap bidang ilmu adalah penting serta saling lengkap-melengkapi dan tiada bidang ilmu yang dilihat lebih tinggi daripada yang lain.

Oleh demikian, segala yang diajar tidak dipisah-pisahkan. Segala ilmu aqliyah seperti perubatan, seni, sastera, astronomi, politik dan sebagainya dikaitkan di antara satu sama lain, terutamanya dengan ilmu dan sumber agama.

Gandingan ilmu tanzil dan fikiran akal inilah yang membawa manusia kepada penemuan sains serta teknologi lanjutan, seterusnya menjadikan mereka para pemikir dan pengkaji yang hebat.

PEMAHAMAN tentang pengIslaman ilmu tidak boleh datang dengan tanggapan dipengaruhi idea dan naratif Barat yang melihat semua cabang ilmu itu terpisah-pisah.

 

 

SALAH ANGGAP
Namun, hari ini keadaannya berbeza. Ramai yang merasakan ilmu sains dan teknologi lebih tinggi kedudukannya. Ia juga dirasakan lebih penting untuk diceburi, sehinggakan pelajar cemerlang seolah-olah dipaksa belajar dalam aliran sains, manakala yang kurang baik prestasinya diserap ke aliran sastera.

Dari sudut yang lain pula, ada yang beranggapan ilmu aqliyah tidak penting kerana ia bersifat keduniaan. Oleh kerana itu, mereka memaksa pendidikan agama sahaja ke atas pelajar dengan pendidikan kontemporari pada tahap minimum, walhal ia juga begitu berguna kepada setiap insan.

Malangnya, kini pendidikan dilihat seperti satu industri dengan para penuntut ilmu sebagai produk keluarannya. Maka, para pelajar terpaksa melalui proses penjenamaan yang ditetapkan oleh pemain industri tanpa mengambil kira falsafah ilmu itu sendiri.

Untuk mengembalikan kegemilangan ilmu, kita harus berani berubah dan memperbetulkan kekhilafan selama ini. Jangan kita hanya mengimbau kejayaan lalu tanpa berusaha ke arah itu. Langkah tersebut, tidak lain tidak bukan, haruslah diambil oleh kita sendiri.-UTUSAN

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN