Inisiatif label ubat mesra OKU penglihatan beri banyak manfaat

Inisiatif label ubat mesra OKU penglihatan beri banyak manfaat

USAHA murni memperkenalkan Label Ubat Mesra Orang Kurang Upaya (OKU) Penglihatan ini harus diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar dapat memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan sasaran. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SISTEM penyampaian perkhidmatan kesihatan di Malaysia semakin berkembang seiring peredaran masa dan kemajuan teknologi baharu.

Pelbagai usaha dan penambahbaikan dilakukan demi memastikan perkhidmatan kesihatan yang diberikan kepada masyarakat selari dengan objektif dalam Kertas Putih Kesihatan. Antaranya menyediakan sistem perkhidmatan kesihatan yang lebih adil dan saksama, berkualiti tinggi, mudah diperoleh pada kos yang berpatutan dan mampan untuk jangka masa panjang.

Dalam memastikan perkhidmatan kesihatan yang inklusif dapat diberikan, setiap golongan masyarakat harus disantuni dengan adil dan saksama. Antara golongan yang memerlukan perhatian termasuklah Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan.

Secara umumnya, terdapat beberapa cabaran kepada golongan ini ketika mendapatkan perkhidmatan kesihatan, terutamanya berkaitan pengambilan ubat-ubatan.

Selain itu, mereka turut menghadapi masalah mendapatkan maklumat penting pada label, pek pembungkusan atau risalah maklumat ubat.

OKU penglihatan mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat tentang ubat-ubatan seperti nama, indikasi, dos dan cara pengambilan. Perkara ini menepati kesamarataan dalam kesihatan seperti yang ditekankan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Maklumat ini penting agar mereka mendapat rawatan yang berkesan dan tidak terdedah kepada kesan sampingan.

Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menawarkan perkhidmatan Label Ubat Mesra OKU Penglihatan di 250 fasiliti kesihatan kerajaan yang terpilih bermula Januari 2023. Label ubat menggunkan tulisan braile yang ditampal pada sampul atau kotak ubat dapat membantu mereka dalam urusan pengambilan ubat-ubatan.

Usaha murni memperkenalkan Label Ubat Mesra OKU Penglihatan ini harus diteruskan dan ditambah baik dari semasa ke semasa agar dapat memberi manfaat lebih besar kepada golongan sasaran.

Antara kaedah yang boleh dilakukan adalah dengan menambah kod QR pada label ubat yang boleh diimbas dengan telefon pintar.

Imbasan kod QR tersebut akan memainkan rakaman suara yang menerangkan cara pengambilan ubat yang betul. Cara ini dapat menyantuni lebih ramai OKU penglihatan terutamanya mereka yang tidak mahir membaca tulisan braille.

Kerjasama antara pelbagai pihak bukan sahaja dapat membantu dalam proses penambahbaikan, bahkan dapat meningkatkan capaian agar lebih ramai golongan sasaran dapat memanfaatkan inisiatif ini.-

 

MOHD. SHAHIRI ABD. GHAPAR
Pegawai Farmasi Bahagian Amalan dan Perkembangan Farmasi Kementerian Kesihatan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN