MURID sekolah rendah biasanya didedahkan dengan ibadah puasa secara berperingkat mengikut kemampuan mereka.
Walaupun masih kecil, kanak-kanak diajar untuk memahami kepentingan ibadah puasa serta mengamalkan nilai-nilai murni sepanjang bulan yang mulia ini baik di rumah, mahupun di sekolah.
Sekolah sering mengadakan pelbagai program Ihya Ramadan dalam menyemarak bulan yang mulia penuh keberkatan.
Antara program dan aktiviti yang dilaksanakan di sekolah adalah tazkirah agama, tadarus al-Quran, pertandingan hafazan, pertandingan tulisan khat dan kuiz Ramadan yang bertujuan memperkukuhkan kefahaman murid mengenai ibadah puasa.
Malah dalam era dunia pendigitalan di sekolah, pihak sekolah turut mengadakan aktiviti yang lebih kreatif, inovatif dan interaktif untuk menarik minat murid.
Sebagai contoh, kuiz digital interaktif bagi menguji pengetahuan murid tentang ibadah puasa, amalan bulan Ramadan, doa dan al-Quran turut diadakan.
Murid juga boleh menghasilkan e-buku resipi masakan mudah dan sihat berbuka puasa dan bersahur menggunakan aplikasi Canva, Google Docs dan Microsoft Sway.
Murid dibimbing untuk menghasilkan video bercerita tentang kisah nabi, amalan mulia dan peristiwa Nuzul al-Quran.
Selain itu, murid boleh berkongsi pengalaman sebenar mereka dengan merakam video pendek atau vlog di rumah tentang berbuka puasa, sahur, tadarus Al-Quran dan solat tarawih di surau atau masjid.
Bagi mengasah daya kreativiti murid, mereka boleh mencipta kad raya digital dan menghasilkan e-poster berbentuk infografik tentang fadilat puasa, solat tarawih, malam Lailatul Qadar, kelebihan zakat, dan amalan murni pada bulan Ramadan.
Selain usaha pihak sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) memainkan peranan penting dalam memastikan murid mendapat bimbingan dan sokongan yang diperlukan sepanjang Ramadan.
Misalnya, PIBG boleh bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengadakan majlis berbuka puasa dan solat tarawih berjemaah bersama murid, guru dan ibu bapa.
Ini bukan sahaja memupuk semangat perpaduan dan menanam sifat kasih sayang dalam diri mereka, tetapi juga memberi pengalaman kepada murid merasai suasana berbuka puasa dan solat secara berjemaah.
Tambahan pula, PIBG boleh mengambil inisiatif melancarkan program infak dan sumbangan tabung kebajikan berkongsi rezeki untuk membantu murid yang memerlukan dengan memberi keperluan asas seperti makanan atau barang dapur serta pakaian raya.
Di samping itu, dalam merapatkan ukhuwah antara guru-guru dan ibu bapa, PIBG digalakkan bergotong royong atau merewang memasak bubur lambuk untuk diagihkan kepada warga sekolah.
Manakala bagi memartabatkan budaya celik al-Quran, PIBG disyorkan bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mengadakan majlis khatam al-Quran.
Budaya puasa dalam kalangan murid sekolah adalah satu proses pendidikan yang bukan sahaja membentuk ketakwaan tetapi juga mengajar nilai disiplin, empati dan akhlak mulia.
Walaupun murid menghadapi pelbagai cabaran dalam berpuasa, dengan bimbingan guru, ibu bapa serta sokongan PIBG, mereka dapat menjalani bulan Ramadan dengan lebih bermakna.
Dengan adanya kerjasama antara sekolah dan PIBG, budaya puasa di bulan Ramadan dapat diperkukuhkan dan diwariskan kepada generasi seterusnya sebagai satu amalan yang membentuk sahsiah diri untuk menjadi insan yang bertakwa dan bertanggungjawab. – UTUSAN
DR. NORSHAHNIZA SAHARI
Pensyarah Kanan Pemasaran
Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Cawangan Johor, Kampus Segamat










