BARU-baru ini tersiar dalam akhbar arus perdana, kisah seorang bapa, Mohd. Nor Fezan Husain menguruskan anak orang kurang upaya (OKU) yang menghidap penyakit tulang belakang bengkok.
Anak-anaknya, Mohd Hamzi, 16, dan Mohamad Hakimi, 19, menghidap penyakit tulang belakang bengkok atau scoliosis sehingga menyebabkan hilang upaya berjalan.
Kata bapa itu , untuk menguruskan keperluan dua anak istimewanya, dia menghadapi kesukaran dalam rutin harian seperti memandikan dan memberi makan kepada mereka.
Mohd. Hamzi dan Mohamad Hakimi dilahirkan normal, namun ketika berusia sembilan tahun, mereka hilang keseimbangan badan untuk berdiri serta kerap terjatuh dan lama-kelamaan tidak lagi mampu berjalan dan hanya boleh mengesot.
Disebabkan penyakit itu juga, kedua-dua anaknya tidak sempat menghabiskan persekolahan berikutan kesukaran bergerak selain tidak mahu menyusahkan sesiapa.
Mohd. Hamzi hanya sempat menikmati alam persekolahan sehingga tingkatan satu, manakala abangnya, Mohamad Hakimi pula di tingkatan empat.
Katanya, bagi menampung keperluan dua anaknya itu, setiap bulan dia perlu menyediakan lebih RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan perubatan yang lain.
Keluarga ini perlu berjimat cermat kerana pendapatan sebagai tukang rumah tidak menentu dengan kadar upah RM70 sehari yang digunakan untuk membeli keperluan dua anaknya serta makan minum sekeluarga.
Difahamkan keluarga ini ada membuat permohonan bantuan bulanan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan oleh yang demikian saya berharap JKM Cawangan Kelantan dapat menilai dan membantu keluarga malang tersebut.-UTUSAN
HAMBA ALLAH
Putrajaya










