TIKTOK bukan sahaja dilihat sebagai aplikasi hiburan tetapi juga alat yang berkuasa dalam menyampaikan naratif sosial dan politik. Alasan terhadap kebimbangan isu keselamatan negara ini dianggap sebagai retorik Amerika Syarikat (AS) dalam usaha mereka untuk mendapatkan penguasaan kawalan ke atas pengoperasian TikTok.
Keupayaan TikTok untuk menyebarkan mesej secara cepat dan meluas menjadikannya medium penting dalam membentuk pendapat awam dan mencetuskan dialog masyarakat. Oleh itu, penguasaan terhadap media sosial pada masa kini dianggap sebagai penguasaan terhadap senjata strategik yang dapat mengubah persepsi dan pandangan masyarakat secara menyeluruh.
TikTok memainkan peranan besar dalam kehidupan Generasi Z, yang membentuk hampir separuh daripada pengguna aktifnya. Aplikasi ini mencetuskan fenomena FOMO (takut ketinggalan), di mana pengguna merasa perlu mengikuti trend terkini untuk kekal relevan.
TikTok juga menjadi alat penting dalam pembentukan identiti digital, dengan cabaran viral, trend, dan kandungan kreatif yang mempengaruhi tingkah laku belia. Aspek ini turut menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan mental, seperti tekanan sosial yang disebabkan oleh jumlah like dan komen.
Isu TikTok melangkaui aplikasi media sosial; ia mencerminkan pertembungan antara keselamatan negara, inovasi teknologi, dan keperluan geopolitik. Dasar yang diambil oleh AS terhadap TikTok dan teknologi China akan membentuk landskap digital global, hubungan antarabangsa, dan masa depan sektor teknologi yang baharu.
Dalam dunia yang semakin bergantung kepada teknologi, keputusan mengenai TikTok adalah simbol persaingan kuasa besar untuk mendominasi masa depan digital. Oleh itu, apa sahaja keputusan yang diambil akan memberi kesan mendalam terhadap generasi akan datang, bukan hanya dalam konteks teknologi dan ekonomi malah konteks falsafah, antropologi, sosiologi dan psikologi. – UTUSAN
MOHD HANIF MOHD. OMAR
Pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka










