Tangani salah laku cara Islam

Tangani salah laku cara Islam

SEBARANG bentuk kekerasan yang melampaui batas bertentangan dengan ajaran Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU  ini, masyarakat digemparkan dengan tindakan tidak berperikemanusian melibatkan individu kurang upaya (OKU) yang dipukul dan dibelasah oleh sekumpulan orang ramai di sebuah pasar minggu, di Terengganu.

Kejadian ini mengundang pelbagai reaksi, terutamanya di media sosial, dengan ramai meluahkan rasa simpati terhadap mangsa serta mengecam tindakan agresif tersebut.

Islam memberi panduan jelas tentang bagaimana menangani pesalah laku dengan penuh keadilan dan belas kasihan. Prinsip asas dalam Islam adalah amar ma’ruf nahi mungkar (menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran), tetapi pelaksanaannya mesti berpaksikan hikmah dan kelembutan.

Firman Allah dalam Surah An-Nahl ayat 125: “Serulah kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.”

Dalam konteks kes ini, pendekatan Islam menuntut agar individu OKU tersebut diberikan peluang untuk menjelaskan situasinya, sambil masyarakat membantu memperbaiki keadaannya. Sebarang bentuk kekerasan yang melampaui batas bertentangan dengan ajaran Islam.

Untuk menangani isu seperti ini dengan berkesan, beberapa langkah proaktif boleh diambil. Antaranya dengan meningkatkan pendidikan masyarakat tentang hak asasi manusia, keadilan, dan nilai kemanusiaan. Kempen kesedaran boleh dilaksanakan melalui media sosial, ceramah agama,dan program komuniti.

Begitu juga dengan memperkasakan penguatkuasaan undang-undang. Pihak berkuasa perlu memastikan setiap kesalahan ditangani dengan pantas dan adil, supaya masyarakat tidak perlu mengambil tindakan sendiri.
Meningkatkan empati termasuk jangan sesekali mendiskriminasi dan salah faham terhadap golongan OKU.

Usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan kesedaran tentang cabaran yang mereka hadapi, agar golongan istimewa ini dilayan dengan lebih adil dan penuh hormat.

Selain itu, pemimpin agama dan komuniti perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memberi nasihat serta bimbingan kepada masyarakat. Mereka boleh menjadi pengantara dalam menyelesaikan konflik tanpa melibatkan kekerasan.-UTUSAN

MOHD KHAIRULAZMAN ABU BAKAR
Ketua Unit Komunikasi Korporat,
Politeknik Hulu Terengganu (PHT)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN