Tangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak

Tangani ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak

ADALAH penting bagi kita untuk mengatasi isu ketagihan gajet sebelum mencapai tahap yang lebih serius.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan. Evolusi teknologi yang pesat telah membawa bersama risiko terutama apabila penggunaan telefon pintar tidak diawasi dengan baik. Penggunaan yang berlebihan boleh membawa kesan jangka panjang terhadap perkembangan fizikal, mental juga emosi kanak-kanak. Oleh itu, perbincangan dan pemahaman mendalam mengenai kesan penggunaan gajet dalam kalangan kanak-kanak adalah penting bagi membentuk pendekatan yang seimbang dalam memanfaatkan teknologi dalam kalangan generasi muda.

Kemahiran sosial dan interaksi manusia memainkan peranan penting dalam perkembangan sosial serta emosi kanak-kanak. Jika kanak-kanak terlalu terikat dengan gajet mereka akan mengalami cabaran dalam membangunkan kemahiran sosial dan cara berinteraksi secara langsung dengan individu lain. Perkara ini terjadi kerana kanak-kanak lebih suka berinteraksi dengan skrin berbanding rakan sebaya dan ini akan mengakibatkan ketidakupayaan mereka untuk membina komunikasi dua hala yang baik disebabkan mereka tidak dapat berkomunikasi dengan baik kerana tidak dapat membaca ekspresi wajah dalam komunikasi bersemuka. Ibu bapa perlu mengehadkan masa penggunaan gajet agar tidak menggantikan interaksi sosial langsung dan memupuk kemahiran sosial. Para guru boleh melakukan aktiviti kumpulan bersama murid secara bersemuka sama ada di dalam atau di luar bilik darjah.

Selain itu, kanak-kanak yang terdedah kepada penggunaan gajet juga berisiko menghadapi isu keselamatan tidak terkecuali keganasan dalam talian iaitu buli siber, pendedahan kepada kandungan yang tidak sesuai dengan usia mereka seperti pornografi yang boleh merosakkan perkembangan emosional dan psikologikal kanak-kanak. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa memantau dan mengawasi kandungan yang diakses oleh anak mereka dengan mengambil inisiatif mengaktifkan privacy button pada telefon pintar mereka agar segala aktiviti digital dapat ditapis dan bagi pendidik pula boleh memberikan pendidikan tentang keselamatan siber kepada kanak-kanak dengan menjadikan ia sebagai salah satu subjek di sekolah.

Di samping itu, kanak-kanak juga boleh mengalami gejala ketagihan akibat penggunaan gajet yang berlebihan. Sebagai contoh, apabila kanak-kanak terlibat dalam permainan menggunakan gajet, mereka mungkin menunjukkan tanda-tanda agresif seperti peningkatan kadar pernafasan dan peningkatan pengeluaran adrenalin dan dopamin dalam badan yang serupa dengan kesan ketagihan kokain. Ketergantungan kepada gajet juga dapat menyebabkan kesukaran bagi kanak-kanak untuk meninggalkan peranti tersebut bahkan hanya untuk jangka masa yang singkat. Akibatnya, boleh meningkatkan kadar pengabaian terhadap aktiviti-aktiviti lain yang sebenarnya lebih bermanfaat bagi perkembangan kanak-kanak.

Isu ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak adalah perkara yang memerlukan perhatian serius dari ibu bapa, pendidik, dan masyarakat secara keseluruhan bagi membendung masalah ini daripada terus berleluasa. Penggunaan gajet yang berlebihan boleh membawa kepada pelbagai risiko dan kesan negatif terhadap perkembangan kanak-kanak. Ini termasuk memberi impak terhadap kesihatan fizikal, ketidakseimbangan dalam kemahiran sosial, ketagihan dan risiko keselamatan dalam talian. Ia boleh dikurangkan dengan memperbanyakkan aktiviti fizikal, interaksi sosial dan pendekatan pembelajaran yang seimbang seperti kata pepatah sediakan payung sebelum hujan. Adalah penting bagi kita untuk mengatasi isu ini sebelum mencapai tahap yang lebih serius, memandangkan kanak-kanak merupakan aset berharga negara dan penerus pembangunan pada masa depan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN